JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kepimpinan Perlu Berlandas Integriti, Berpaksikan Rakyat - PM Anwar

09/01/2026 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepimpinan perlu berlandaskan integriti, komitmen menentang rasuah dan dasar ekonomi yang menangani masalah rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup dan pendapatan.

Beliau berkata kepimpinan sedemikian juga perlu dekat dengan rakyat serta memahami cabaran harian mereka walaupun kerajaan sedang melaksanakan reformasi institusi.

Perdana Menteri berkata sebagai ketua sebuah kerajaan perpaduan, beliau perlu menangani isu secara kolektif berbanding bertindak secara sendirian.

“Saya bukan diktator, saya perlu menangani isu dengan baik. Saya bayangkan seorang pemimpin tidak mencari kekayaan untuk diri sendiri, mengambil elaun gaji minimum, berpendirian tegas menentang rasuah serta mempunyai program yang memberi tumpuan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam program One on One terbitan stesen penyiar Turkiye, TRT World.

Beliau berkata reformasi tidak boleh terburu-buru tanpa mengambil iktibar daripada pengalaman negara lain, sambil memberi amaran bahawa harapan rakyat boleh mendatangkan kesan sebaliknya jika isu keperluan asas diabaikan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata adalah menjadi cabaran dalam mengambil tindakan terhadap individu berkuasa yang melakukan kesalahan rasuah, kerana mereka mempunyai pengaruh besar dalam media, institusi kehakiman dan sistem penguatkuasaan.

“Saya sendiri berdepan serangan dan tuduhan termasuk dakwaan yang mempersoalkan reformasi dilakukan pada awal saya menerajui pentadbiran negara,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan baru-baru ini mengumumkan fasa kedua reformasi termasuk kebebasan maklumat, penubuhan ombudsman serta penetapan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) pula merupakan langkah penting ke arah akauntabiliti.

“Bukan mudah untuk seorang Menteri Kewangan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Parlimen, namun ia mesti dilakukan,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan