JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Melon Manis Tambah Pendapatan Pelajar Sarjana UMT

26/02/2026 10:17 AM

MARANG, 26 Feb (Bernama) -- Mengikuti pengajian peringkat sarjana di universiti bukan alasan kepada Fatin Nur Atillia Abdul Razak untuk mengusahakan tanaman melon manis sebagai sumber pendapatan sampingan.

Pelajar Sarjana Agro Teknologi Sains Tanaman Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata mengenali tanaman melon manis semasa menjalani latihan industri di sebuah syarikat pertanian di Kuala Ibai pada 2020.

Fatin Nur Atillia, 28, berkata ditawarkan menyertai projek penanaman melon manis pada pertengahan pengajian oleh pensyarah yang menyelianya Profesor Madya Ts Dr Wan Zaliha Wan Sembok.

“Saya menyertai program itu pada pertengahan tahun lepas kerana projek penyelidikan yang dijalankan berkaitan tanaman melon. 

“Ini memberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam situasi sebenar dan menambah pengalaman praktikal,” katanya kepada Bernama pada Majlis Pengiktirafan Impak Projek Komuniti Kolaborasi Teraju-UMT di UMT Bukit Kor, di sini semalam.

Wanita itu antara 28 peserta Projek Melon Manis Terengganu yang dilaksanakan menerusi kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan UMT.

Fatin Nur Atillia berkata menanam 1,000 pokok melon manis pada musim pertama menggunakan polibeg dengan hasil diperoleh kira-kira 300 hingga 500 kilogram kerana musim telah di penghujung tempoh penanaman.

“Melon manis mengambil masa kira-kira 65 hingga 70 hari sebelum boleh dituai.

“Buat masa ini melon manis tidak dapat memenuhi permintaan. Jadi saya fokus pemasaran di Hulu Terengganu dan lebih menumpukan jualan secara terus ke sekolah serta klinik,” katanya.

Fatin Nur Atillia berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kebanyakan pelanggan berpuas hati terhadap kualiti buah.

“Mereka kata buah rangup dan manis yang sinonim dengan melon manis sekali gus menjadi tarikan utama,” katanya.

Fatin Nur Atillia berkata selain sumber pendapatan, penglibatan dalam penanaman melon manis memberi pengetahuan teknikal kepadanya. 

Anak jati Hulu Terengganu itu juga berharap penyertaan dalam projek tersebut membantu meningkatkan pengeluaran hasil dan dapat mengembangkan perniagaannya secara berperingkat.

“Pada awalnya saya mengambil buah daripada petani lain sebelum membina nama sedikit demi sedikit bagi memastikan kualiti buah dan pelanggan berpuas hati.

“Menerusi program ini, saya dapat meningkatkan pengeluaran hasil sendiri dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar serta memperluas jualan melon manis,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan