JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Aliran Air Bawah Tanah Dipercayai Punca Lubang Benam Di Jalan Bagan Lalang

27/02/2026 01:40 PM

BUTTERWORTH, 27 Feb (Bernama) -- Aliran air bawah tanah dipercayai punca kejadian mendapan tanah yang membentuk lubang benam di Jalan Bagan Lalang di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Phee Syn Tze berkata siasatan terperinci bagaimanapun masih dijalankan Indah Water Konsortium (IWK) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau berkata kejadian pada 4.30 petang mengakibatkan pembentukan lubang berdiameter dua meter dengan kedalaman 1.5 meter di kawasan itu.

“IWK masih menjalankan siasatan dan mengesyaki kemungkinan berlaku kebocoran saluran air di bawah tanah kerana lokasi kejadian merupakan laluan paip pembetungan milik IWK,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian hari ini. 

Hadir sama Jurutera Daerah Seberang Perai Utara Mohd Zuwairi Samsuddin.

Phee berkata kejadian semalam juga mengakibatkan kerosakan pada saluran paip yang dipercayai berusia lebih 70 tahun.

Beliau berkata tindakan segera telah diambil kontraktor IWK dan Jabatan Kerja Raya dengan menutup sementara lubang menggunakan batu kasaran serta memasang hadangan keselamatan dan lampu kelip di sekeliling kawasan terjejas.

“Saya mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan memperlahankan kenderaan ketika melalui laluan ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan