AM

UTeM Tawar Enam Pakej Bantuan Termasuk Biasiswa Anak Emas Kepada Dharshini

18/09/2024 02:39 PM

MELAKA, 18 Sept (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan Biasiswa Anak Emas UTeM kepada S. Dharshini untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) bulan hadapan.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata biasiswa yang disalurkan di bawah Yayasan Tun Canselor UTeM itu merupakan satu daripada enam pakej bantuan untuk membantu Dharshini, 21, yang merupakan pelajar cemerlang daripada keluarga B40.

“Biasiswa Anak Emas UTeM akan membiayai kos pengajian Dharshini yang merangkumi yuran dari awal sehingga tamat pengajian termasuk wang sara hidup bulanan sebanyak RM500 sehingga selesai pengajian.

“Lima bantuan lagi ialah bantuan wang tunai berjumlah RM1,500, bantuan sebuah komputer riba bagi tujuan pembelajaran dan bantuan bank makanan, asrama sehingga tamat pengajian serta bimbingan kaunseling dan kerjaya bagi membantu beliau dalam pengajiannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pakej bantuan itu membuktikan keprihatinan UTeM kepada pelajar cemerlang dalam akademik yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di universiti itu namun kurang berkemampuan.

Beliau berkata UTeM memahami keperitan dihadapi Dharshini, seorang anak yatim yang tinggal bersama ibunya D. Saraspathy, 60, yang merupakan Orang Kelainan Upaya masalah penglihatan selain keluarganya  menghadapi masalah kewangan.

Massila berkata bantuan itu disampikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif di kediaman Darshini di Bukit Mertajam, Pulau Pinang petang semalam.

UTeM turut menyampaikan sumbangan mewakili pihak Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi kepada pelajar berkenaan.

Sementara itu, Darshini berkata beliau tidak menyangka kehadiran pihak UTeM ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan berpakej itu, sekali gus membantu meringankan beban kewangan yang diperlukan bagi melanjutkan pengajian di universiti.

Beliau juga berazam untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan mengubah kehidupan keluarganya ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.

Bagi Saraspathy pula, bantuan yang disalurkan UTeM kepada anaknya itu merupakan anugerah yang terindah dan berharap Darshini akan menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Isnin lepas media melaporkan kesusahan hidup yang dihadapi Darshini sehingga terpaksa menolak peluang menyambung pelajaran di UTeM mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Steven menerusi hantaran di laman Facebooknya dilaporkan berkata beliau akan menanggung semua kos pengajian Darshini di UTeM termasuk yuran pendaftaran, kos perjalanan ke universiti itu dan komputer riba.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan