AM

Pembangkang Boleh Kemuka Draf MoU Baharu - TPM Fadillah

19/09/2024 01:27 PM

KUCHING, 19 Sept (Bernama) -- Pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan.

Beliau turut menjelaskan sehingga hari ini, pihaknya belum lagi dihubungi pihak pembangkang bagi meneruskan perbincangan berkaitan MoU itu.

“Draf MoU sedia ada adalah asas untuk kita (meneruskan) perbincangan. Jika (pembangkang mahu MoU baharu) mereka perlu kemukakan maklum balas mereka … tapi sebelum ini mereka ada buat kenyataan untuk menolak, bila dah tolak kita terima (pendirian mereka),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian 'International Social Security Management Conference 2024' di sini hari ini.

Pada 16 Sept lepas, Kerajaan Perpaduan telah mendedahkan dua draf MoU yang dirangka bersama sebagai bukti ketelusan dalam perundingan mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang.

Fadillah berkata keputusan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan MoU berkenaan.

Semalam, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata Kerajaan Perpaduan diminta menyediakan draf MoU baharu selain menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan mengenai MoU antara kerajaan dan pembangkang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan