AM

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Mendiang Ooi Eow Jin

19/09/2024 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga komposer veteran Datuk Ooi Eow Jin yang meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat sakit tua di Hospital Kuala Lumpur kira-kira 3.30 petang semalam.

Menerusi hantaran di platform X, Fahmi berkata industri muzik tanah air kehilangan sebutir permata yang amat berharga.

“Takziah kepada Datin Elaine Khaw serta seluruh ahli keluarga mendiang Dato' Ooi Eow Jin yang telah meninggal dunia.

“Jasa serta sumbangan mendiang dalam pembangunan dan kemajuan bidang muzik tempatan akan dikenang sepanjang zaman,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan keadaan kesihatan Ooi yang menghidap penyakit Alzheimer sejak 2015 semakin merosot selepas dijangkiti COVID-19.

Mendiang memulakan kerjaya dalam arena muzik dengan menganggotai Orkestra RTM antara 1963 hingga 1983, sebelum berhijrah ke TV3 dan pernah berkhidmat di beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Mendiang banyak mencipta lagu untuk penyanyi tempatan dan luar negara termasuk Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Rafeah Buang, Datuk M Nasir, Rahimah Rahim, Flora Santos, Alleycats, Jennifer Yen dan Francis Yip.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan