AM

Pendaftaran Universiti Bagi Pengambilan Oktober Ini Dipermudah Bagi Pelajar B40

19/09/2024 07:23 PM

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi memberi jaminan bahawa tiada pelajar daripada golongan B40 akan tercicir daripada akses pendidikan di negara ini hanya kerana masalah yuran pendaftaran.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata kementerian itu telah meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menerima pendaftaran pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan Oktober ini terlebih dahulu dan isu berkaitan yuran boleh diselesaikan kemudian.

“Itu cadangan daripada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir...inti pati (gist) daripada itu adalah kita tidak mahu mana-mana golongan terutama B40 ini tercicir daripada akses pendidikan negara kita hanya kerana masalah yuran," katanya kepada media pada Program Kepimpinan Muda Kebangsaan Karisma: Pemikir MADANI siri tiga di sini hari ini.

Mustapha berkata langkah itu bagi memudahkan proses kemasukan pelajar terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan.

Beliau berkata bagi pelajar yang memohon pinjaman PTPTN, wang pendahuluan pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 disediakan sebelum mereka mendaftar di IPTA dan Politeknik.

“Ramai pelajar mungkin tidak maklum tentang perkara ini. Jadi, kepada mereka yang tidak tahu atau masih mengalami kesulitan untuk mendaftar, jangan risau. Menteri telah memberi jaminan bahawa pelajar boleh mendaftar dahulu dan hal-hal berkaitan yuran akan diuruskan kemudian.

“Kita juga berharap pihak universiti maklum tentang perkara ini dan memastikan tiada pelajar yang tercicir hanya kerana masalah pendaftaran. Kita tidak mahu pelajar terhalang daripada melanjutkan pelajaran mereka hanya kerana isu ini,” katanya.

Terdahulu, Zambry berkata semua pentadbir universiti awam perlu menerima masuk pelajar kurang berkemampuan yang mendapat tawaran termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.

Beliau juga meminta agar pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian menerusi PTPTN kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan