AM

Kaunter Khidmat Pelanggan Di Melaka Beroperasi Waktu Rehat Tengah Hari

20/09/2024 03:24 PM

MELAKA, 20 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengarahkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan membuka kaunter khidmat pelanggan pada waktu rehat tengah hari bagi menyantuni rakyat yang perlu mendapatkan perkhidmatan.

Beliau berkata ia boleh dilaksanakan menerusi penggiliran pegawai bertugas di kaunter bagi mengelak rakyat perlu menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan daripada setiap agensi terlibat.

"Sehubungan itu, saya memohon kepada semua dan memberikan arahan bahawa semua kaunter perkhidmatan kerajaan tidak ada lagi waktu rehat pada waktu makan tengah hari dan akan diuruskan secara penggiliran oleh pegawai-pegawai bertugas.

"Kita tak nak rakyat disidaikan pada waktu rehat padahal waktu itu boleh diuruskan (untuk melayan pelanggan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Melaka bagi September 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata jumlah pengunjung dan pelancong yang melancong ke Melaka mencecah 10.16 juta orang hingga Ogos lepas sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Beliau berkata ia hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri termasuk Zon Bebas Kenderaan pada setiap hujung minggu dan program Melaka Bila Larut Malam pada Sabtu pertama setiap bulan.

Kerajaan negeri juga akan melancarkan menu RM10 pada Ahad ini sebagai tambahan bagi program Melaka Bila Larut Malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan