AM

Projek Pembinaan Kereta Kabel Bukit Bendera Bermula 15 Oktober Ini

20/09/2024 04:10 PM

GEORGE TOWN, 20 Sept (Bernama) -- Sebahagian jalan di Jalan Kebun Bunga dan Jalan Viaduct akan ditutup secara berfasa bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang akan dimulakan 15 Oktober ini.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) Datuk Cheok Lay Leng berkata fasa satu membabitkan penutupan sebahagian jalan bermula dari persimpangan Jalan Kebun Bunga dan Lorong Air Terjun sebelum Pangsapuri Park Avenue.

Beliau berkata tempoh penutupan adalah dari 15 Okt iaitu sebaik projek berkenaan dimulakan dan mengambil masa selama dua tahun dan dijangka siap 30 Jun 2026.

“Bagi fasa kedua, penutupan adalah membabitkan sebahagian Jalan Viaduct berhampiran Bypath J yang menghubungkan ke Jalan Jip. Jalan itu dijangka ditutup mulai November, namun maklumat dan perincian lanjut mengenainya akan dimaklumkan kemudian,” katanya pada sidang media projek Kereta Kabel Bukit Bendera: Kemaskini Pengurusan Trafik dan Pembinaan di Komtar hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari.  

Cheok berkata Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang menggariskan pengurusan aliran trafik dan aktiviti pembinaan telah dimuktamadkan dan diluluskan bagi menangani kebimbangan orang ramai berkaitan kawalan lalu lintas di sekitar Taman Botani Pulau Pinang, pergerakan kenderaan pembinaan berat di sepanjang Jalan Kebun Bunga dan Jalan Jip serta tempat letak kereta ketika kerja pembinaan berjalan.

Beliau turut memaklumkan Taman Botani Pulau Pinang akan terus dibuka kepada orang ramai sepanjang tempoh itu tetapi mereka dinasihatkan untuk tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan, sebaliknya berbuat demikian di kawasan yang ditetapkan sahaja.

Beliau berkata pengunjung boleh meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta Arulmigu Balathandayuthapani Temple (Waterfall Hilltop Temple) yang terletak 750 meter dari Taman Botani, Taman Bandaraya berjarak 900 meter atau di Nattukkottai Chettiar Temple yang berjarak satu kilometer.

“Bagaimanapun, tempat letak kereta adalah terhad, justeru pengunjung digalakkan menggunakan pengangkutan alternatif bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, antaranya dengan berkongsi kereta, pengangkutan awam seperti Rapid Penang atau perkhidmatan e-panggilan. Selain itu, kita turut galakkan pengunjung berjalan kaki ke Taman Botani sambil menikmati persekitaran indah,” katanya.

Cheok memberitahu PBBPP akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta syarikat konsesi Hartasuma Sdn Bhd untuk meminimumkan kesulitan, seterusnya memastikan fasa pembinaan yang selamat dan pantas.

“Selain menambah satu lagi pengangkutan ikonik dan alternatif ke Bukit Bendera, projek kereta kabel ini juga bertujuan menangani isu parkir jangka panjang dan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Kebun Bunga serta meningkatkan kemudahan awam untuk pengunjung Taman Botani Pulau Pinang, justeru kita memohon kesabaran, kefahaman dan kerjasama anda dalam menghadapi kesulitan sementara ini,” katanya.

Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta itu mempunyai laluan sepanjang 2.73 kilometer dengan tiga buah stesen iaitu Stesen Taman, Gelung Belokan dan Stesen Bukit.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan