EKONOMI

Anugerah MIHAS 2024 Perkenal Kategori Kelestarian, Iktiraf Amalan Mesra Alam

20/09/2024 07:26 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Anugerah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 yang berprestij kembali tahun ini dengan kategori baharu iaitu Anugerah Kelestarian untuk mengiktiraf usaha menerima pakai amalan mampan dalam industri Halal.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Anugerah Kelestarian mencerminkan kepentingan tanggungjawab alam sekitar dan sosial yang semakin meningkat. 

“Ia menggariskan komitmen kami bagi mengiktiraf usaha dalam mengamalkan amalan mampan; memastikan pertumbuhan industri dicapai sambil menghormati penjagaan alam sekitar dan memaksimumkan impak sosial.

“Jumlah permohonan yang menggalakkan telah diterima untuk kategori baharu ini, majoriti daripada kluster makanan dan minuman, diikuti oleh bioteknologi, farmaseutikal, logistik, makanan berkhasiat serta e-dagang,” katanya semasa ucaptama pada majlis anugerah itu hari ini.

Menerusi anugerah ini, MATRADE berharap dapat menyampaikan mesej tentang kepentingan memulihara alam sekitar kepada kluster Halal yang lain. 

“Tambahan pula, bahan mesra alam terkandung dalam trofi tahun ini,” tambahnya lagi.

Tahun ini, anugerah MIHAS merangkumi tiga kategori iaitu Anugerah Kecemerlangan Produk dan Perkhidmatan; Anugerah Inovatif Produk dan Perkhidmatan serta Anugerah Kelestarian.

Anugerah Kecemerlangan Produk dan Perkhidmatan mengiktiraf peserta pameran MIHAS atas kecemerlangan dalam prestasi eksport, memperakui perniagaan, nilai produk serta perkhidmatan, konsep dan pengurusan gerai semasa pameran selain pendigitalan dalam perniagaan.  

Anugerah Inovatif Produk dan Perkhidmatan mengiktiraf pempamer yang cemerlang dalam industri halal dengan menawarkan penyelesaian yang inovatif serta menggabungkan elemen digital dan kreatif, manakala Anugerah Kelestarian mengiktiraf serta meraikan usaha syarikat dalam menyepadukan prinsip kemampanan ke dalam operasi harian mereka.

Pengiktirafan itu juga berusaha untuk memacu perubahan positif dengan mempromosikan amalan mampan yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti.

Anugerah Kelestarian tahun ini jatuh kepada B-Crobes Marketing Sdn Bhd di bawah B-Crobes Group of Company.

Pengarah Hal Ehwal Perubatannya, Dr Kaley Oon berkata anugerah itu menandakan tahap kejayaan baharu bagi syarikat itu sambil mengiktiraf usahanya ke arah kemampanan yang dimulakan sejak lebih 22 tahun yang lalu.

“Ketika kami mengembangkan kilang kami di Batu Kawan, kami mengguna pakai inisiatif tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan matlamat pembangunan lestari. 

“Kami juga sedang berusaha untuk mengenal pasti mikrob baharu yang boleh merendahkan mikroplastik, bertujuan mengurangkan pencemaran alam sekitar serta meminimumkan potensi risiko kesihatan kepada manusia,” katanya kepada Bernama.

Untuk Anugerah Kecemerlangan Produk dan Perkhidmatan bagi kategori Perusahaan Mikro, Sederhana dan Kecil pula, pemenang tahun ini ialah Nims Adeliciousz Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Norhanim Tengku Othman berkata pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan besar buat syarikatnya. .

“Anugerah ini sebenarnya milik seluruh pasukan. Segala usaha yang telah kami buat selama ini adalah punca kejayaan ini, daripada tanpa apa-apa hingga mencapai tahap sekarang.

“Kami menghadapi banyak cabaran tetapi kami menjadikan setiap peluang untuk memperbaiki diri,” katanya .

Tengku Norhanim berkata syarikat itu mempunyai rancangan bercita-cita tinggi untuk masa depan, dengan tumpuan yang kukuh bagi mengembangkan kehadirannya di peringkat antarabangsa. 

“Kami tidak sabar-sabar untuk membawa produk kami ke pasaran global, mempamerkan kualiti dan inovasi yang telah memacu kejayaan kami. 

“Pengembangan ini bukan sahaja akan meningkatkan jenama kami tetapi juga mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan dan kerjasama pada skala antarabangsa,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan