EKONOMI

Suruhanjaya Tenaga Keluarkan Garis Panduan Sebagai Rangka Kerja Kawal Selia Untuk CRESS - Petra

21/09/2024 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga akan mengeluarkan garis panduan sebagai rangka kerja kawal selia untuk pemain industri dan pihak berkepentingan yang berminat untuk menyertai Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Di bawah program CRESS, penjana tenaga boleh baharu (TBB) dan syarikat korporat yang layak boleh membuat aturan bekalan elektrik hijau dengan terma yang dipersetujui melalui sistem bekalan sedia ada.

Menurut PETRA dalam kenyataan hari ini, pihaknya yakin CRESS akan menyokong dan menjadi pemangkin pembangunan serta aspirasi peralihan tenaga sektor bekalan elektrik terutamanya dalam meningkatkan campuran kapasiti TBB daripada 26 peratus kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus pada 2050.

“Inisiatif ini akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik selain mengurangkan kebergantungan sistem bekalan elektrik negara kepada sumber bahan api fosil,” katanya. 

PETRA berkata mana-mana pihak yang berminat boleh memuat turun garis panduan CRESS melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.

Program CRESS akan menyediakan opsyen pembekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pengguna korporat bagi membolehkan syarikat korporat memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam aspek penggunaan bekalan elektrik hijau melalui konsep akses pihak ketiga.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan