AM

Peniaga Agih Makanan Percuma Bantu Mangsa Banjir

21/09/2024 10:29 AM

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Seorang peniaga kedai makanan di Kampung Suka Menanti, di sini mengambil inisiatif menyajikan makanan percuma kepada orang ramai, khususnya mereka yang terjejas banjir di sekitar kampung itu.

Jamaludin Ahmad, 73, berkata inisiatif tersebut diambil selepas dia tidak dapat berniaga berikutan kedainya digenangi banjir sejak Rabu dan timbul niat untuk bersedekah membantu mangsa banjir.

“Sebelum banjir kami telah membeli barang untuk berniaga dalam kuantiti yang banyak, kemudian banjir melanda kawasan ini dan anak lelaki saya bertanya bagaimana nak habiskan barangan yang telah dibeli.

“Sebelum itu juga cucu saya pernah hampir lemas dalam satu kejadian baru-baru ini dan anak lelaki saya cadangkan untuk bersedekah dengan menyediakan makanan percuma untuk orang ramai, sebagai tanda bersyukur kepada Allah kerana cucu saya itu selamat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jamaludin yang lebih mesra dengan panggilan Pak Din berkata pada agihan pertama hari Khamis, mereka memberikan kira-kira 300 pek nasi putih berlauk ikan goreng secara percuma kepada orang ramai.

Beliau yang juga seorang pesara tentera berkata, selepas tular di media sosial, semalam jumlah orang ramai yang ingin mendapatkan makanan meningkat.

“Agihan makanan akan diteruskan hari ini bermula 5 petang nanti dan merupakan hari terakhir dia menyediakan makanan percuma itu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung itu Amirul Hafiz Hazir, 29, berkata inisiatif dilakukan Jamaludin itu sangat membantu orang ramai, khususnya yang terkesan dengan banjir.

“Memang Pak Din biasa bantu penduduk kampung ini, jadi bila dia beri makanan percuma ini kita sangat-sangat berterima kasih kepada dia,” katanya.

Bagi Nurhanim Ismail, 44, pula inisiatif tersebut sedikit sebanyak meringankan beban mangsa banjir yang menghadapi kesukaran untuk memasak dan mendapatkan barangan ketika musim banjir ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan