DUNIA

Bursa Malaysia Diunjur Lebih Tinggi Minggu Depan

21/09/2024 10:39 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, didorong sentimen keyakinan berikutan langkah penurunan kadar faedah yang besar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata keputusan Fed telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap ringgit dan memberikan Bank Negara Malaysia (BNM) fleksibiliti yang diperlukan dalam kerangka dasarnya.

Menurut Innes, sebelum ini BNM mengambil pendekatan berhati-hati mengenai penurunan kadar berikutan kebimbangan terhadap susut nilai mata wang, namun kini mendapat isyarat baik untuk berbuat demikian.

Innes turut menekankan bahawa sokongan kerajaan terhadap sektor teknologi Malaysia adalah penting untuk menarik pelaburan asing.

"Berdasarkan pergerakan mata wang, pelabur asing sudah mula mencari arah untuk kembali ke pasaran Malaysia.

"Semua isyarat menunjukkan trend aliran positif, dan trend ini boleh mewujudkan kitaran yang baik untuk mata wang dan pasaran tempatan," katanya kepada Bernama.

Innes optimis namun berhati-hati bahawa indeks penanda aras Bursa Malaysia akan kekal melepasi paras 1,660 mata minggu depan, walaupun terdapat potensi risiko daripada pilihan raya AS.

"Kenaikan tarif boleh memberi kesan negatif kepada China. Walaupun Malaysia tidak terbabit dengannya, risiko di Asia boleh berubah sedikit negatif," katanya.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan mengunjurkan indeks petunjuk pasaran akan menguji semula paras rintangan 1,670 minggu depan berikutan beberapa usaha untuk melepasi paras ini ketika dagangan pada Jumaat.

Beliau berkata prospek positif itu diperkukuhkan lagi dengan penurunan kadar Fed baru-baru ini dan trend global ke arah pelonggaran monetari, yang dijangka dipercepatkan menjelang akhir tahun ini.

Mohd Sedek berkata prestasi Wall Street terus mempengaruhi pasaran global, termasuk Malaysia.

Beliau berkata, jika dilihat seperti sebelum ini, kadar faedah yang lebih rendah telah menyokong ekuiti, dengan sektor seperti perumahan, automotif dan kewangan meraih manfaat daripada pengurangan kos pinjaman dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Ini juga boleh mengekalkan perbelanjaan pengguna yang kukuh, dan kami menjangkakan momentum positif Wall Street akan menular kepada pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia," katanya.

Pada Isnin 16 Sept 2024, Bursa Malaysia ditutup berikutan cuti umum Maulidur Rasul dan Hari Malaysia.

Bursa tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi minggu ini, didorong langkah pembelian segera di kaunter sarung tangan selepas AS mengumumkan hasrat untuk menaikkan tarif terhadap sarung tangan perubatan dari China kepada 50 peratus pada 2025 dan 100 peratus pada 2026.

Penurunan kadar separuh mata Fed yang besar turut menyumbang kepada sentimen peningkatan harga.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 16.67 mata kepada 1,668.82 berbanding 1,652.15 minggu sebelumnya.

Di seluruh papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas melonjak 236.44 mata kepada 12,538.75, Indeks FBMT 100 meningkat 214.91 mata kepada 12,231.21 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 296.66 mata kepada 12,412.47.

Indeks FBM 70 menokok 660.02 mata kepada 17,941.90 manakala Indeks FBM ACE menambah 118.59 mata kepada 5,202.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 137.71 mata kepada 19,688.81, Indeks Perladangan turun 4.08 mata kepada 7,176.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 3.69 mata kepada 178.84 dan Indeks Tenaga meningkat 13.91 mata kepada 876.72.

Bagi minggu berkenaan, jumlah dagangan berkurangan kepada 13.67 bilion unit bernilai RM16.15 bilion berbanding 38.74 bilion unit bernilai RM16.65 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 8.37 bilion saham bernilai RM15.22 bilion, merosot daripada 8.78 bilion saham bernilai RM15.57 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran turun kepada 3.69 bilion unit bernilai RM403.07 juta daripada 4.10 bilion unit bernilai RM1.20 bilion minggu terdahulu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.60 bilion saham bernilai RM519.71 juta berbanding 1.88 bilion saham bernilai RM606.15 juta sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan