AM

52 Menara Telekomunikasi Jendela Beroperasi Di Johor - Teo

21/09/2024 02:27 PM

KULAI, 21 Sept (Bernama) -- Sebanyak 52 daripada keseluruhan 107 menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu di Johor telah beroperasi setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata selebihnya dijangka beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini sekali gus memberikan manfaat kepada penduduk di negeri itu untuk menikmati liputan Internet dengan lebih lancar. 

"Arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada kontraktor dan juga penyedia perkhidmatan sekurang-kurangnya hujung tahun ini semua mula beroperasi.

"Kita minta mereka ikut pelan asal tetapi jika sambungan ke fiber mengambil masa lama, sambungkan kepada gelombang mikro atau starlink supaya penduduk dapat perkhidmatan Internet," katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Infrastruktur Komunikasi JENDELA fasa satu di Felda Inas di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan daripada jumlah itu terdapat empat tapak menara telekomunikasi di negeri ini belum mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan memandangkan projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan hutan.

Mengulas mengenai menara telekomunikasi JENDELA di Felda Inas, Teo berkata menara yang telah beroperasi sejak 31 Julai lepas itu mempunyai kira-kira 1.5 kilometer radius liputan dari tapak, memberikan manfaat kepada 1,639 penduduk di Felda itu.

"Menerusi ujian kelajuan yang dibuat, kelajuan muat turun kesemua syarikat telco lebih tinggi daripada kelajuan minimum yang kami telah tetapkan iaitu 7.7 megabait sesaat (Mbps). Kami lihat paling perlahan 16 Mbps dan paling laju 127 Mbps. 

"Sebelum menara ini dibangunkan, memang liputan Internet di sini kurang memuaskan tetapi sekarang kita nampak liputan 4G tiada masalah. Saya harap kita dapat terus menyediakan perkhidmatan Internet kepada penduduk sekitar melalui inisiatif ini," kata Ahli Parlimen Kulai itu.

JENDELA bermatlamat merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar dengan menyambungkan laluan gentian optik di sembilan juta premis dengan sasaran 100 peratus liputan Internet terbaik di kawasan berpenduduk dengan kelajuan melebihi 100 Mbps.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan