POLITIK

PRK Mahkota: Fasa Pertama Kempen Harmoni, Santai Mengikut 'Cara Johor'

21/09/2024 03:23 PM

KLUANG, 21 Sept (Bernama) -- Kempen ‘Cara Johor', itu peringatan diberikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebaik sahaja tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tamat pada Sabtu lepas.

Beliau berkata kempen 'Cara Johor' mementingkan aspek keharmonian justeru pihak bertanding baik daripada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) diminta tidak terlalu 'ghairah dengan emosi' semasa berkempen sehingga menyentuh perkara yang boleh menjejaskan perpaduan seperti isu 3R (kaum, agama dan raja). 

Bagi orang luar, tentunya teruja untuk melihat kempen 'Cara Johor' dan selepas seminggu tempoh berkempen, boleh disimpulkan kempen PRK DUN Mahkota berlangsung dalam situasi tenang tanpa sebarang keributan, sesuai dengan pengiktirafan Kluang sebagai antara Bandar Bahagia pada 2022. 

Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan calon PN Mohamad Haizan Jaafar, 61, masing-masing menggunakan pendekatan pintu ke pintu dan program skala kecil seperti sukan bola sepak, memancing, sesi dialog dan sembang santai tanpa penganjuran ceramah mega setakat ini untuk mendekati pengundi. 

Jika dibandingkan dengan beberapa siri PRK sebelum ini, boleh dikatakan jumlah bendera atau poster pihak bertanding juga sangat kurang dengan hanya beberapa lokasi dalam DUN Mahkota, khususnya di taman perumahan dapat dilihat berlaku perang bendera namun boleh dikatakan 'dalam skala kecil'. 

Syed Hussien juga dilihat selesa berkempen dengan cara itu, walaupun jadualnya padat sejak Subuh sehingga tengah malam bagi membolehkan beliau bertemu seramai mungkin penduduk yang digelarnya sebagai keluarga besar, mengambil kira beliau sudah dikenali ramai menerusi perniagaan makanan keluarganya.

Walaupun tidak secara besar-besaran, ceramah tetap diadakan seperti ceramah berkelompok Perpaduan oleh BN yang disertai rakan dari Pakatan Harapan (PH) termasuk Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, secara tidak langsung menidakkan dakwaan berlaku keretakan hubungan Kerajaan Perpaduan.

Bagi PN, ceramah sememangnya agenda utama pada pilihan raya dan untuk kali ini antara kepimpinan yang turun padang ialah Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Bersatu Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PN negeri Datuk Dr Sahruddin Jamal dengan ceramah itu juga berlangsung kecil-kecilan. 

Secara keseluruhan setakat Khamis lepas, polis dilaporkan meluluskan 38 permit ceramah dan kempen bergerak iaitu sembilan kepada BN manakala bakinya kepada PN dengan  hanya menolak satu permohonan setakat ini.

Pendekatan kempen skala kecil itu, pada pandangan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Ku Hasnan Ku Halim lebih sesuai di PRK DUN Mahkota yang merupakan kawasan bandar kerana rakyat sudah muak dengan pendekatan lama.

"Sekarang rakyat lebih banyak perkara lain yang perlu diberikan keutamaan daripada terlibat dalam pertembungan peperangan politik namun dalam masa sama, mereka memerhati atau sudah mempunyai pilihan walaupun pilihan itu tidak dinyatakan secara nyata seperti pemasangan bendera politik. 

“Selain itu, penggunaan media sosial juga semakin meluas, apa sahaja maklumat pengundi mahu, mereka ada pilihan untuk mencarinya tanpa perlu menghadiri program politik. Hanya perlu biijak meneliti ketulenan kandungan yang dibaca atau dilihat," katanya. 

Ku Hasnan menambah DUN Mahkota juga tidak mempunyai masalah capaian Internet membolehkan akses kepada media sosial sangat luas, jika dibandingkan seperti di DUN Nenggiri, kawasan pedalaman selain tiada isu besar yang menjadi kebimbangan rakyat di sini untuk dijadikan modal kempen. 

Sementara itu, Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berpandangan kempen yang agak kurang kemeriahannya disebabkan kedudukan yang dilihat selamat kepada BN berbanding jika berlangsung di kawasan peratusannya 50-50 atau 60-40. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan kehadiran jentera BN dari pelbagai negeri dengan bantuan PH untuk berkempen sejak hari pertama, menunjukkan mereka tidak berada dalam zon selesa walaupun kelihatan 'tidak all out' jika dibandingkan dengan PRK sebelum ini.

Selain itu, Mohd Azhar berkata kempen secara kecil juga apabila pengagihan kerja dibuat secara baik, dapat menyantuni pengundi secara bersasar dan membawa 'human touch' yang akan lebih memberi kesan kepada pengundi. 

"Saya rasa isu nasional tidak membawa kesan kepada pengundi di sini dan parti politik juga tahu. Zaman sudah berubah jika hendak berkempen cara lama di DUN Mahkota. Isu sempit seperti 3R juga tidak boleh mempengaruhi di sini kerana pemikiran pegundi di DUN Mahkota lebih terbuka dan mereka sudah harmoni. 

"Cabaran lebih utama perlu diselesaikan adalah untuk memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi. Ini yang cuba dilakukan calon pada sesi kempen yang dilihat akan diperhebatkan pada minggu kedua kempen," katanya.  

Terdapat 66,318 pengundi di DUN Mahkota dengan majoritinya pengundi Melayu iaitu 56 peratus diikuti Cina (34 peratus) dan India (lapan peratus) dan bakinya lain-lain. 

DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 menyaksikan penguasaan BN apabila menang empat daripada lima pilihan raya yang telah diadakan. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan