AM

Pameran Produk Halal Perlu Diselaras Agar Impak Meluas - Ahmad Zahid

21/09/2024 03:43 PM

BANGI, 21 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar pameran dan ekspo produk halal di semua peringkat diselaraskan, agar impaknya lebih meluas serta usaha memangkin industri halal terus diperkasa.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata Malaysia mempunyai pelbagai pameran produk halal antaranya Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Halal Fiesta Malaysia (Halfest) dan Karnival Usahawan Desa (KUD), namun tujuannya hanya satu iaitu memenuhi pasaran domestik dan antarabangsa.

“Cara terbaik ialah mengumpulkan semua pempamer dan pengeluar produk halal di satu tempat dan jemput peniaga luar negara, agar padanan perniagaan (B2B) dilakukan dan menggali potensi untuk produk dipasarkan di peringkat antarabangsa,” kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Himpunan Usahawan anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang turud dihadiri Presiden DPIM Datuk Mohammad Sahar Mat Din.

Ahmad Zahid berkata pemain industri halal tidak harus fokus kepada pengeluaran hasil akhir tetapi juga melihat kepada ramuan serta bahan yang dikeluarkan secara Pengilang Peralatan Tulen (OEM), oleh konsortium yang diwujudkan dalam DPIM, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan persatuan lain agar pengeluaran besar-besaran dapat dilakukan untuk pasaran antarabangsa.

“Jangan bersaing, membunuh antara satu sama lain dengan produk yang sama, pasaran yang sama. Mesti jalinkan kerjasama agar produk-produk disatukan dengan jenama yang sama, tapi dipasarkan di peringkat antarabangsa kerana permintaan di luar lebih besar daripada permintaan dalaman,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau semalam mengumumkan bermula tahun hadapan, September akan dijadikan sebagai Bulan Produk Halal tahunan.

“Ini akan dapat menyatukan para usahawan dan pengeluar bahan-bahan dan perkhidmatan seperti farmaseutikal, kosmetik, perubatan traditional, herba dan suplemen dapat disatukan untuk memenuhi permintaan pasaran antarabangsa,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengajak para usahawan untuk mengambil peluang terhadap industri halal yang semakin meluas, yang ketika ini eksport produk halal sebanyak RM53.72 billion, iaitu 3.8 peratus berbanding jumlah keseluruhan eksport negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan