AM

164 Penduduk Taman Idaman, Kluang Terima Geran Tanah

21/09/2024 03:44 PM

KLUANG, 21 Sept (Bernama) -- Seramai 164 penduduk Taman Idaman di sini menarik nafas lega apabila tapak tanah perumahan yang didiami sejak lebih 20 tahun lepas akhirnya menjadi hak milik mereka. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata ia selepas kerajaan negeri Johor berjaya menyelesaikan isu pemilikan tanah itu hasil penubuhan satu pasukan petugas yang diusahakan pihak Pejabat Daerah Kluang. 

“Akhirnya urusan ini selesai dan mereka yang membayar Notis 5A (Surat Tawaran Pemilikan Tanah) dapat hak pemilikan. Insya-Allah bila ada geran ini nilai rumah meningkat dan mereka boleh serah kepada anak, boleh jual atau sebagainya,” katanya selepas majlis penyerahan hak milik berkenaan hari ini. 

Penyerahan hak milik itu disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa Konvoi Jelajah Orang Mahkota yang diadakan di kampung berkenaan.

Mohd Jafni berkata isu pemilikan hak milik tanah juga berlaku di beberapa kawasan lain di Johor melibatkan penduduk yang sudah berusia dan kerajaan negeri sedang menyelesaikannya secara berperingkat.  

Sementara itu, pesara kerajaan Nastani Dimin, 73, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana isu pemilikan itu selesai kerana rumah didiaminya terletak di lokasi yang strategik dan selesa. 

“Perumahan kami ini strategik, di tengah-tengah bandar, balai polis dan masjid pun ada. Dulu beli dengan pemaju dan ada geran besar dan kini baru dapat pindah milik. 

“Harga lot tepi dulu saya dapat dalam RM69,000 untuk rumah kos sederhana rendah mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya yang bersara pada 2007. 

Pesara guru Aminah@Sapiah Mohd Yusof, 78, menzahirkan rasa syukur kerana akhirnya masalah pemilikan tanah sejak 20 tahun lepas selesai dengan baik.

“Alhamdulillah seronok sangat dah jadi hak milik kita. Terima kasih banyak kepada kerajaan negeri Johor,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan