DUNIA

Juruterbang Susi Air Berjaya Diselamatkan Selepas 19 Bulan Dalam Tahanan KKB

21/09/2024 04:21 PM

JAKARTA, 21 Sept (Bernama) -- Juruterbang Susi Air, Philips Mark Mehrtens dibebaskan selepas lebih 19 bulan dalam tahanan Kumpulan Penjenayah Bersenjata (KKB) di Papua, timur Indonesia.

Warganegara New Zealand itu diculik pada 7 Feb tahun lalu ketika melakukan penerbangan bagi memindahkan pekerja dari wilayah bergolak itu dan mendarat di Lapangan Terbang Paro, daerah Nduga.

Ketua operasi Damai Cartenz, Brigadier Jeneral Faizal Ramadhani mengesahkan bahawa kerajaan Indonesia melaksanakan pendekatan secara rundingan, mengutamakan dialog berbanding tindakan bersenjata.

Pasukan petugas turut berunding dengan pemimpin agama, wakil gereja, tokoh tempatan serta ahli keluarga ketua pemisah, Egianus Kogoya.

"Strategi ini penting untuk meminimumkan kemalangan jiwa dalam kalangan pihak berkuasa dan orang awam sambil memastikan keselamatan juruterbang," katanya dalam satu kenyataan.

Selepas rundingan yang panjang, Mehrtens, 38, berjaya diselamatkan oleh pasukan gabungan tentera dan polis dari Pasukan Petugas Damai Cartenz di kampung Yuguru, daerah Maibarok pada Sabtu.

Dia kemudiannya dibawa ke Mobile Brigade Corps Command Headquarters Battalion B di Timika.

"Operasi ini berjaya dan Mehrtens dijumpai dalam keadaan sihat. Dia diterbangkan terus dari Nduga ke Timika," kata jurucakap pasukan petugas itu, Pesuruhjaya Polis Bayu Suseno.

Selepas operasi menyelamat, Mehrtens menjalani pemeriksaan perubatan dan penilaian psikologi bagi memastikan kesejahteraannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan