AM

Syarikat Swasta Disaran Anjur Hari Keluarga, Manfaatkan Pelepasan Cukai

21/09/2024 10:34 PM

LAWAS, 21 Sept (Bernama) -- Majikan syarikat swasta disaran memanfaatkan pelepasan cukai dengan mengadakan hari keluarga serta aktiviti kekeluargaan sekali gus mengangkat konsep keseimbangaan keluarga dan kerja.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata penganjuran hari keluarga turut memberi impak positif terhadap kesihatan mental dalam kalangan pekerja serta majikan.

“Saya berharap lebih banyak pihak swasta akan mengambil peluang ini untuk memperkukuh ikatan kekeluargaan dalam kalangan pekerja selain turut menyokong penganjuran program seperti ini sepanjang November nanti.

“Kita sedia maklum kesihatan mental juga adalah elemen yang perlu dititikberatkan oleh majikan dan pekerja yang baik bermula di rumah melalui kehidupan keluarga yang sejahtera,” katanya ketika berucap pada majlis Penutupan Kembara KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2024 dan Permulaan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan di Arena Lawas malam ini. 

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Bulan Keluarga Kebangsaan pada 9 dan 10 Nov ini di Kuala Lumpur.

“Sambutan ini akan menjadi platform untuk kita mempertingkat kesedaran tentang peranan penting setiap ahli keluarga serta menyediakan pelbagai program yang menyokong keluarga dari segi pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial,” katanya.

Nancy juga berkata Kembara KASIH KPWKM yang berakhir di penghujung utara Sarawak iaitu Lawas telah memberi manfaat kepada 12,000 rakyat Bumi Kenyalang menerusi pelbagai inisiatif sepanjang kembara itu. 

Kembara itu, yang bermula pada 14 Sept lepas serta membabitkan perjalanan sejauh 1,456 kilometer, turut menelusuri tujuh lagi daerah di Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri dan Limbang.

“Harapan kami, dengan adanya program khas kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri seperti Kembara KASIH KPWKM ini dapat membantu mempercepatkan hasil kepada usaha pembangunan sosial yang kami laksanakan,” katanya. 

Pelbagai perkhidmatan percuma ditawarkan oleh agensi di bawah KPWKM sepanjang kembara itu seperti Program Komuniti Santuni MADANI, Program Advokasi Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak dan Program Outreach Advokasi Antigangguan Seksual.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan