JENAYAH & MAHKAMAH

Empat Premis Berkaitan GISBH Di Pulau Pinang Diserbu

21/09/2024 10:44 PM

BUKIT MERTAJAM, 21 Sept (Bernama) -- Empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak dipercayai berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang beroperasi di beberapa lokasi di Pulau Pinang diserbu dalam operasi bersepadu dijalankan oleh pihak berkuasa hari ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata dalam serbuan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan gerakan  Al Arqam yang diharamkan sebelum ini.

Katanya pemeriksaan dilakukan di dua pusat jagaan kanak-kanak di Nibong Tebal, dekat sini dan Taman Seri Mengkuang di sini serta masing-masing sebuah kedai kek dan roti serta pasar raya runcit di Perda di sini.

"Kesalahan itu berkait dengan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP 1996) iaitu Seksyen 13(1)(b) kerana ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) berkata selian polis dan JHEAIPP, operasi bermula 8 pagi itu turut melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) , Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara  (JPN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pihak berkuasa, katanya sedang meneliti semua bukti yang diperoleh serta tidak akan bertolak ansur sekiranya didapati terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku yang melibatkan premis atau operasi GISB.

Beliau menegaskan kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah berasaskan fakta dan bukti yang sahih dalam menangani isu tersebut serta tidak akan membuat sebarang keputusan secara tergesa-gesa atau berdasarkan spekulasi.

“Isu ini bukan hanya melibatkan entiti korporat, tetapi ia juga menyentuh aspek kepatuhan terhadap undang-undang dan prinsip moral yang kita junjung, oleh itu penting bagi semua pihak untuk mematuhi undang-undang dan beroperasi dengan integriti,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan terus memantau perkembangan siasatan berkenaan dengan teliti serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam memastikan isu tersebut diselesaikan secara adil dan saksama.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Lahar Yooi di Tasek Gelugor dan Sungai Ara mendapati kedai makan, restoran makanan laut, kedai runcit dan kedai pakaian terpakai yang dikaitkan dengan GISBH ditutup.

Malah beberapa banting dan papan tanda yang mempunyai kaitan dengan syarikat tersebut dipercayai juga telah ditanggalkan serta dibuang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan