AM

GISBH, Anak Syarikat Tidak Pernah Bayar Zakat - Lembaga Zakat Selangor

28/09/2024 02:15 PM

SHAH ALAM, 28 Sept (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesahkan tidak pernah menerima sebarang jenis bayaran zakat daripada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Divisyen Kutipan Mohd Fikri Naim Harun berkata walaupun LZS pernah menjalankan dakwah kutipan zakat di GISBH, namun sehingga kini belum ada sebarang pembayaran zakat yang direkodkan diterima daripada GISBH dan anak syarikatnya.

“Terdapat lebih 20 syarikat berkaitan GISBH yang ada dalam senarai kami, yang kami semak tidak membuat sebarang bayaran zakat di Lembaga Zakat Selangor. Kami juga tidak dapat menentukan jumlah zakat yang GISBH serta anak syarikat mereka perlu bayar, kerana tidak pernah menerima sebarang maklumat berkaitan aset serta liabiliti yang mereka ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Karnival Zakat Selangor 2024 di Dataran Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Mohd Fikri Naim berkata jumlah bayaran zakat perniagaan biasanya ditaksir selepas LZS menerima maklumat berkenaan aset yang dimiliki serta liabiliti yang ditanggung oleh syarikat berkenaan. 

Ditanya sama ada tindakan perundangan boleh dikenakan terhadap GISBH kerana tidak membayar zakat, Mohd Fikri Naim berkata terdapat peraturan dan undang-undang di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, yang memperuntukkan hukuman penjara serta denda kepada pihak yang sengaja tidak membayar zakat kepada LZS.

Beliau berkata berdasarkan enakmen itu serta Peraturan-Peraturan Zakat dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012, mereka yang sengaja tidak membayar zakat atau sengaja tidak membayar zakat kepada LZS, boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000.

“Kalau ditanya adakah kami tidak boleh ambil tindakan kepada GISBH kerana tidak membayar zakat? Kalau ikut enakmen, ya ada tetapi kami diamanahkan untuk berdakwah terlebih dahulu. Jadi, setakat ini pihak LZS akan terus menumpukan kepada usaha dakwah agar zakat dibayar secara sukarela dan ditunaikan atas kerelaan,” katanya.

Polis mengadakan serbuan Op Global pada 11 Sept terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH, kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISBH.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan