AM

UKM Terima 6,718 Pelajar Baharu Sesi Akademik 2024/2025

28/09/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima 6,718 pelajar baharu daripada 86,364 permohonan untuk sesi akademik 2024/2025 bagi semua program pengajian. 

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata jumlah itu termasuk pelajar ambilan semua kategori arus perdana dan ambilan pelajar tempatan dan antarabangsa melalui Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape). 

Beliau berkata daripada 6,718 pelajar baharu yang mendaftar 1,803 pelajar kemasukan baharu ke UKM sesi tersebut adalah daripada keluarga B40 iaitu lebih 40 peratus daripada jumlah ambilan keseluruhan.

“Seramai 303 pelajar adalah daripada keluarga berpendapatan B10 iaitu kurang RM1,000 sebulan. Pelajar-pelajar ini menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan termasuk bantuan yuran kemasukan, bantuan zakat dan kemudahan kolej khusus kepada pelajar asnaf secara percuma sepanjang semester,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata universiti itu juga menerima pengambilan pelajar baharu Orang Asli seramai lapan orang dan orang kurang upaya (OKU) seramai sembilan orang.

“Kita santuni setiap kondisi pelajar dengan menyediakan kemudahan penginapan dan bantuan kebajikan yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada mereka,” katanya.

Mohd Ekhwan berkata UKM juga menerima lima pasangan kembar, tujuh pasangan adik beradik dan 20 pelajar saluran khas atlet Unit Pusat Universiti (UPU), dan kesemua pelajar baharu akan menjalani program suai kenal iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW) bermula hari ini sehingga Rabu.

“Dengan tema ‘Ilmu, Mutu dan Budi’, MAW akan memberi pendedahan dan pengisian yang padat kepada pelajar baharu seperti amanat Naib Canselor, sesi bersama alumni, pengenalan kepada aktiviti kampus, dan interaksi dengan fakulti, kolej serta Pusat Tanggungjawab universiti.

“Pada tahun ini juga, MAW menampilkan In Person with Doc Zam Tips and Tricks for Freshies dan program Ramah Mesra bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir Interaksi bersama Doc Zam: ‘Pesanan buat Warga Watan Baharu’ pada hari kedua,” katanya.

Selain itu beliau berkata sesi pendaftaran pagi tadi melibatkan pelajar dari Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Labuan.

“Sementara itu pelajar dari Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur akan mendaftar pada sesi petang di kolej masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan