AM

Belanjawan 2025: MOSTI Cadang Peruntukan Untuk R&D Dipertingkat

03/10/2024 02:24 PM

SERDANG, 3 Okt (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencadangkan agar peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) ditingkatkan untuk memperkukuh sektor inovasi negara.

Menterinya Chang Lih Kang berkata peningkatan pelaburan dalam R&D amat penting bagi mencapai sasaran Malaysia untuk berada dalam kedudukan 30 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025.

Malaysia kini menduduki tangga ke-33 dalam GII 2024, meningkat tiga tangga selepas kekal di kedudukan ke-36 selama tiga tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2023.

Namun, Chang berkata antara perkara dalam GII yang perlu ditambah baik ialah meningkatkan pelaburan dalam R&D, yang ketika ini mencatatkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) pada kadar satu peratus sahaja.

"Pelaburan R&D kita masih rendah, terutamanya dalam sektor swasta. Kami berharap kerajaan dapat memperkenalkan inisiatif bagi merangsang pelaburan R&D dalam sektor tersebut," katanya kepada media selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum perjanjian serta perasmian makmal kolaborasi antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan NXP Malaysia, di sini hari ini.

Selain itu, Chang berkata MOSTI juga berharap agar Belanjawan 2025 memberi tumpuan kepada promosi Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI), terutamanya di peringkat rendah, bagi memupuk minat terhadap sains dan teknologi sejak usia muda.

Beliau menegaskan bahawa fokus ini penting untuk merancakkan sektor STI dalam menyumbang kepada ekonomi negara, sekali gus membantu mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Menurutnya Belanjawan 2025 juga perlu memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan ekosistem syarikat teknologi pemula (startup) di Malaysia.

Chang mengakui bahawa pelaburan dalam R&D sains dan teknologi tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan. Oleh itu, beliau menegaskan keperluan mewujudkan mekanisme seperti program pemadanan dengan industri serta kerjasama erat antara sektor industri dan institusi pendidikan untuk memacu pertumbuhan teknologi.

Belanjawan 2025 yang bertemakan "Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen pada 18 Okt ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan