AM

Pahang Rekod 1,409 Kes Demam Denggi, Lima Kematian

03/10/2024 03:18 PM

KUANTAN, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) merekodkan sebanyak 1,409 kes demam denggi dengan lima kematian setakat 28 Sept lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim.

Beliau berkata angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 1,075 kes demam denggi dengan satu kematian.

Lima kes kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan dalam kalangan individu berumur 40 hingga 65 tahun, dengan masing-masing satu kes di Bentong, Bera, Kuantan, Raub dan Rompin.

“Pembiakan nyamuk aedes kebanyakan berlaku di kawasan rumah, taman permainan selain kebun sayur yang tidak dibersihkan,” katanya pada sidang media selepas program pelepasan nyamuk aedes berWolbachia di Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2 di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rusdi Abdul Rahman memaklumkan negeri ini berada di kedudukan kedua tertinggi di Malaysia merekodkan kes kematian akibat demam denggi setakat ini.

“Ketika siasat kes kematian, didapati faktor utama adalah pesakit lambat datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan...ada di antara kes yang hanya sempat satu hari di wad sebelum meninggal dunia.

“Jadi, kami mohon kepada mana-mana individu yang demam kuat 38 darjah celsius ke atas, tolong datang ke klinik kesihatan atau swasta, sekiranya masih tidak sembuh, datang semula ke klinik sama kerana pusat rawatan itu sudah ada sejarah pesakit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah memeriksa 410,206 premis dengan 1,130 daripadanya dikenakan kompaun berjumlah RM565,000, sebagai hasil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 setakat 21 Sept lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan