DUNIA

Laos Luluskan Kenaikan Gaji Untuk Pekerja Bergaji Rendah Di Tengah Inflasi Tinggi

03/10/2024 07:09 PM

VIENTIANE, 3 Okt (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan Laos telah mengarahkan perniagaan dan penyedia perkhidmatan untuk membayar elaun sokongan yang lebih tinggi kepada pekerja berpendapatan rendah bagi menangani kos sara hidup yang meningkat, lapor Xinhua.

Kementerian Buruh dan Kebajikan Sosial Laos mengeluarkan notis, berkuat kuasa pada 1 Okt yang menggesa majikan dalam unit perniagaan dan perkhidmatan untuk membayar gaji minimum bulanan sebanyak 2.5 juta kip Lao (kira-kira AS$114), menurut laporan kementerian pada Khamis.

Gaji minimum ketika ini berada pada 1.6 juta kip (kira-kira AS$73). Bagaimanapun, dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak, kerajaan menganggap adalah perlu untuk memberikan sokongan tambahan kepada pekerja di seluruh negara.

Kenaikan gaji dan elaun baru ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan yang lebih luas untuk membantu pekerja menghadapi tekanan ekonomi akibat kos sara hidup yang tinggi dan inflasi.

Inflasi di Laos masih menjadi kebimbangan utama, walaupun sedikit menurun kepada 21.7 peratus pada September 2024, berbanding 24.3 peratus pada Ogos.

Sementara itu, inflasi yang tinggi dan penurunan nilai kip bermakna pekerja dibayar kurang dalam terma sebenar, yang melemahkan kapasiti perbelanjaan mereka dan dipercayai memaksa ramai daripada mereka mencari pekerjaan di negara lain, menyebabkan kekurangan tenaga buruh domestik semakin buruk.

-- BERNAMA-XINHUA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan