AM

Celik Kewangan Kunci Pemerkasaan Belia - Aaron Sum

03/10/2024 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Literasi kewangan adalah penting dalam memupuk tabiat kewangan yang bertanggungjawab dan membuat keputusan dalam kalangan orang muda, dengan manfaat yang dapat memberi kesan positif kepada kehidupan mereka dalam jangka masa panjang, kata Ketua Pegawai Strategi, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Kumpulan Alliance Bank Dr Aaron Sum Wei Wern. 

Beliau berkata dalam dunia digital yang semakin berkembang, dengan transaksi kewangan dalam talian semakin mendominasi, adalah penting agar kanak-kanak memahami asas simpanan, belanjawan dan perbelanjaan.

"Pengetahuan ini membantu mereka mengharungi kerumitan landskap kewangan, mengelakkan perangkap seperti penipuan dan menimbulkan rasa tanggungjawab dan keyakinan apabila menguruskan wang mereka," katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, Alliance Bank melancarkan edisi ketujuh inisiatif pendidikan kewangan yang memenangi anugerah iaitu Cabaran AEIOU bertemakan Spot the Scams: Be a Financial Superhero!.

Tema itu menekankan keperluan mendesak untuk pengetahuan kewangan dalam landskap digital hari ini serta memperkasakan golongan muda dengan kemahiran untuk mengenal pasti dan mengelak penipuan kewangan, katanya.

Aaron berkata Cabaran AEIOU direka untuk mendidik murid sekolah berusia 9 hingga 12 tahun, bertujuan memberikan kemahiran pengurusan kewangan yang penting dalam kaedah menarik dan interaktif.

Beliau berkata kempen itu menyediakan pendidikan kewangan penting menerusi dua komponen iaitu Cabaran Komik AEIOU dan Cabaran e-Permainan Kewangan AEIOU yang distrukturkan kepada tiga modul – Save (Simpan), Plan (Rancang) dan Spend (Belanja).

Tahun ini, Cabaran AEIOU dijangka mencecah 25,000 murid sekolah di seluruh negara, selaras dengan rangka kerja Kurikulum Sekolah Kementerian Pendidikan 2027 yang menekankan pendidikan kewangan sepanjang hayat.

Sejak diperkenalkan pada 2015, beliau berkata Cabaran AEIOU telah melibatkan lebih 140,000 kanak-kanak di seluruh negara, menerima lebih 130,000 penyertaan, dan melatih lebih 1,200 guru dalam bengkel celik kewangan.

"Kami menggalakkan semua murid supaya menyertai Cabaran AEIOU tahun ini dengan menghantar penyertaan mereka untuk Cabaran Komik dan e-Permainan. Cabaran e-Permainan boleh didapati menerusi aplikasi mudah alih AEIOU dan maklumat lanjut sila layari laman web AEIOU Financial Literacy.

Tarikh tutup penyertaan pada 13 Okt ini, diikuti sesi penghakiman pada pertengahan Oktober yang akan memilih 20 finalis. Cabaran akhir dan majlis penyampaian anugerah akan diadakan pada pertengahan November di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan