JENAYAH & MAHKAMAH

GISBH: Penjaga Rumah Amal Didakwa Rotan Kanak-kanak Enam Tahun

04/10/2024 11:27 AM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH)  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki di sebuah rumah amal berkenaan di Bandar Country Homes, Rawang.

Mohd Syahid Hanapiah, 35, didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, telah menganiaya mangsa dengan cara merotan kanak-kanak itu yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di premis berkenaan di Bandar Country Homes di Rawang pada waktu pagi Feb hingga Sept 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan jaminan terhadap Mohd Syahid.

Bagaimanapun Nurilya Ellyna berkata sekiranya mahkamah mengguna pakai budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang keras berjumpa dan mengganggu mangsa, melaporkan diri di balai polis dan boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Mohd Syahid yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia mempunyai masalah kewangan.

“Saya mohon supaya jaminan dikurangkan kerana ada masalah kerja dan keluarga,” katanya.

Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Nov ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Sebelum ini media melaporkan pihak polis telah melancarkan Op Global awal bulan lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan, dan  359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut ditahan.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan