EKONOMI

MSIA: 53 Peratus Syarikat E&E, Semikonduktor Optimis Prospek Perniagaan Bagi Suku Keempat

04/10/2024 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Sebanyak 53 peratus syarikat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor optimis terhadap prospek perniagaan bagi suku keempat 2024, demikian menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Kaji Selidik Suku Tahunan E&E/ Semikonduktor MSIA bagi suku ketiga menunjukkan sentimen positif yang berterusan, walaupun lebih rendah berbanding 60 peratus yang dilaporkan pada suku kedua.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, 63 peratus syarikat menunjukkan keyakinan, turun sedikit daripada 72 peratus pada suku kedua,” kata MSIA dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan kaji selidik itu menyatakan 52 peratus syarikat optimis terhadap prospek pelaburan mereka bagi suku keempat tahun ini, turun sedikit daripada 58 peratus pada suku kedua.

Sementara itu sebanyak 71 peratus syarikat mengambil bekerja jurutera dan juruteknik pada suku keempat, mencerminkan aktiviti pengambilan pekerja yang kukuh walaupun menurun sedikit daripada 85 peratus pada suku kedua.

Menurut persatuan itu 46 peratus syarikat melaporkan prestasi perniagaan yang bertambah baik pada suku ketiga berbanding suku kedua, meningkat daripada 39 peratus pada suku sebelumnya dan ini menunjukkan trajektori positif walaupun keyakinan yang agak sederhana merentas industri.

Mengulas keputusan kaji selidik suku ketiga itu, presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, ia mencerminkan daya tahan dan kebolehsuaian industri semikonduktor Malaysia, walaupun berdepan ketidaktentuan global dan cabaran kerana syarikat terus komited terhadap pertumbuhan, inovasi dan pelaburan.

“Untuk terus berkembang maju, kita perlu menangani masalah kekurangan tenaga kerja, mempertingkat infrastruktur dan mengukuhkan daya saing kita menerusi pelaburan strategik dan sokongan kerajaan.

“Dengan pelaksanaan dasar yang betul, sektor E&E Malaysia akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya.

Sementara itu, MSIA berkata laporan itu juga mengetengahkan beberapa cadangan daripada responden kepada kerajaan bagi Belanjawan 2025.

Antaranya pesponden mencadangkan rebat perbelanjaan modal (capex), geran dan pembiayaan untuk mengembangkan jaguh syarikat tempatan, mengesyorkan kerajaan menyediakan pas kerja/pekerjaan/permit untuk bakat asing, seperti saintis, jurutera, dan saintis data dan insentif untuk syarikat menerima guna pendigitalan dan automasi dalam pembuatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan