AM

MSCE 2024 Platform Timba Ilmu Urus, Selenggara Hartanah Strata

04/10/2024 05:01 PM

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Malaysia Strata Conference and Exhibition (MSCE) 2024 yang merupakan persidangan serta pameran diadakan khusus untuk industri pengurusan strata menimba ilmu dalam mengurus serta menyelenggara hartanah berstrata, kata Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk K N Jayaselan.

Beliau berkata MSCE yang julung kali diadakan itu turut menjadi platform kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) serta pemain industri untuk bertukar pandangan mengenai pengurusan strata.

“Kami sokong dan harap program seumpama ini diperbanyakkan dan diteruskan di masa hadapan. Program ini beri ruang kepada JMB, MC, penduduk kediaman berstrata untuk datang dapatkan ilmu di sini,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan MSCE 2024 di sini hari ini.

Jayaselan berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut mengambil bahagian dalam pameran serta ceramah pada acara itu.

“KPKT ada wakil bagi sesi perkongsian ilmu dalam persidangan untuk maklumkan apa aktiviti KPKT kepada peserta. Saya harap konvensyen seumpama ini membuka minda peserta untuk menambah ilmu dan menambah baik pengurusan strata masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fifth Connexions Sdn Bhd Tiffany Chai berkata MSCE 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyasarkan 3,000 pengunjung termasuk peserta persidangan, yang terdiri daripada JMB, MC, pihak pengurusan hartanah, pemilik hartanah strata, pemaju, peguam strata dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata objektif penganjuran adalah untuk mendidik pihak berkepentingan mengenai prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kepentingannya dalam pengurusan strata; menghubungkan komuniti strata dengan pembekal perkhidmatan; mempromosikan penyelesaian inovatif serta menyediakan kemas kini mengenai undang-undang, peraturan dan trend industri.

“Kita harap kita mulakan dulu dengan inisiatif (MSCE 2024) ini sebelum anjur program lebih besar yang menyasarkan lebih ramai peserta. Kita akan fokus kepada perbincangan tentang ESG yang kini jadi elemen penting,” katanya dan menambah terdapat 12 penceramah dan 100 peserta menyertai sesi persidangan.

Bertemakan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, Tiffany berkata MSCE 2024 memainkan peranan penting dalam mewujudkan komuniti strata yang mampan, adil dan diurus dengan baik.  

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada KPKT atas sokongan terhadap penganjuran MSCE 2024 dan berharap dapat memperkasakan kerjasama demi membina keyakinan rakyat terhadap sektor swasta.

“Pengesahan (sokongan) KPKT sangat penting, kerana ia menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan memperbaiki pengurusan strata dan standard kehidupan di Malaysia. Ia juga menambah kredibiliti dan merapatkan jurang antara inisiatif kerajaan serta komuniti strata,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan