SUKAN

MABA Harap Dapat Turunkan Pemain Naturalisasi Di Sukan SEA Thailand

04/10/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) berharap proses naturalisasi pemain yang dilakukannya dapat diselesaikan sebelum Sukan SEA Thailand hujung tahun depan.

Timbalan Naib Presiden MABA Datuk Lee Yuen Fong berkata sekiranya mereka berjaya membariskan pemain naturalisasi pada temasya dwitahunan itu, skuad negara berpeluang untuk menyumbang lebih banyak pingat berbanding edisi sebelum ini.

“Kita telah bekerjasama rapat dengan kerajaan kerana ini bukan hanya usaha MABA. Kami memerlukan banyak bantuan dari kerajaan.

“Saya boleh beri jaminan jika kita dapat pemain naturalisasi ini, kami sudah tentu dapat ke separuh akhir (dalam lebih banyak pertandingan). Jika tidak, kita akan ada kekurangan,” katanya pada sidang media selepas majlis undian Kejohanan Bola Keranjang Jemputan Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Kejohanan anjuran MABA itu akan disertai beberapa kelab dari Malaysia dan China, selain pasukan Macau bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan persiapan menjelang Sukan SEA Thailand 2025, Yuen Fong berkata segalanya berjalan lancar seperti yang direncanakan sebelum ini.

Beliau berkata MABA juga bakal merekrut beberapa pemain dan jurulatih baharu bagi memantapkan lagi pasukan kebangsaan.

“MABA kini sedang berusaha termasuk mendapatkan pemain baharu dan jurulatih tambahan bagi membantu pasukan itu untuk Sukan SEA tahun depan dengan harapan mereka mendapat keputusan lebih baik daripada edisi sebelum ini,” katanya. 

Pada dua edisi lepas iaitu di Sukan SEA Kemboja dan Vietnam 2021, kem bola keranjang negara sekadar meraih pingat gangsa menerusi acara 5-sebelah wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan