AM

Grab Malaysia Rai Kejayaan Kontinjen Olimpik Dan Paralimpik Negara

04/10/2024 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Grab Malaysia baru-baru ini menyemarakkan semangat patriotik dengan meraikan kejayaan membanggakan kontinjen Olimpik dan Paralimpik Malaysia sebagai penghargaan terhadap jasa dan pencapaian luar biasa mereka dalam temasya sukan antarabangsa itu. 

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata prestasi cemerlang atlet negara di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris bukan sahaja menyuntik inspirasi dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga telah menyentuh hati Rakan Orang Kurang Upaya (OKU) di syarikat itu.

“Kisah ketabahan dan kegigihan mereka telah menjadi sumber kekuatan dan motivasi bagi Rakan OKU kami dan kami berasa sangat bangga untuk menyokong kejayaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Adelene berkata syarikat perkhidmatan e-hailing yang kini mempunyai lebih 3,100 ahli OKU di seluruh Asia Tenggara itu, kekal komited dalam menyokong penjanaan pendapatan bagi komuniti tersebut.

Sementara itu, pemandu Grab, Abdul Halim Hapiz menyifatkan penglibatannya pada majlis tersebut sebagai suatu pengalaman yang amat istimewa.

"Peluang bertemu dan mendengar kisah perjuangan atlet-atlet ini merupakan satu pengalaman yang paling berharga untuk saya. 

"Kegigihan mereka mengingatkan kita bahawa walau apa pun halangan yang ada, kita pasti boleh menghadapinya dan membanggakan negara kita," katanya.

Pada majlis itu, pemenang pingat Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris menerima GrabFood percuma selama setahun, selain 1 juta mata ganjaran GrabRewards bagi pemenang pingat emas, perak (500,000) dan gangsa (250,000)

Selain itu, kesemua 110 jurulatih dan pegawai turut menerima baucar GrabFood bernilai RM100.

Grab Malaysia turut menegaskan komitmennya dalam memberikan sokongan kepada semua lapisan komuniti di negara ini untuk terus memacu ke hadapan bersama.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan