JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Warga Singapura Mengaku Tak Salah Dakwa Diri Rasul

05/10/2024 12:14 AM

SEREMBAN, 4 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas dua pertuduhan mengajar ajaran salah yang mendakwa dirinya rasul dan ada roh kudus.

Idris Ami, 60, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulfikri Yasoa'.

Mengikut pertuduhan, dia yang merupakan pemandu forklift didakwa mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun dengan mendakwa dirinya utusan iaitu rasul bagi zaman ini di sebuah rumah di Kuala Pilah kira-kira 11 malam antara 6 hingga 8 Okt 2023.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengajar ajaran salah kepada individu sama iaitu dengan mendakwa di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh rasul-rasul terdahulu iaitu Nabi Adam hingga Nabi Muhammad pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwa Syarie Abdul Wafi Ramli memohon supaya mahkamah tidak melepaskan atau menawarkan sebarang jaminan serta dihantar ke penjara berikutan tertuduh ialah warga asing dan bon jaminan akan menyebabkan dia pulang ke negara asal sekali gus mengganggu proses pendakwaan.

Hakim Zulfikri kemudian menetapkan bon jaminan berjumlah RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan empat penjamin warga tempatan bermastautin di Negeri Sembilan, tidak dibenarkan keluar Malaysia sehingga perintah lain dikeluarkan serta melapor diri kepada Ketua Penguasa Agama negeri bagi memastikan kehadiran di mahkamah setiap bulan.

Kes ditetapkan semula untuk perbicaraan pada 19 Nov ini.

Dalam pada itu, Hakim Zulfikri membebaskan seorang wanita warga tempatan berumur 42 tahun yang dipercayai merupakan orang kanan tertuduh dengan bon jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin yang bermastautin di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Ahmad Zaki Hamzah ketika ditemui berkata kedua-dua individu itu ditahan di Muadzam Shah, Pahang ketika dalam perjalanan ke Terengganu pagi tadi.

“Kita telah siasat maklumat berkaitan ajaran baharu yang dikenali sebagai ajaran Cahaya yang dilakukan di sebuah rumah di Kuala Pilah. Ajaran itu dipercayai diajar lebih setahun lepas di daerah itu dan ada antara pengikutnya sudah keluar daripada ajaran terbabit.

“Kita dapati ajaran ini bertentangan dengan hukum syarak termasuk mempercayai tertuduh sebagai roh kudus atau bersatu dengan roh Nabi Adam dan Nabi Muhammad. Selain itu, dia mendakwa tidak perlu berzikir dan solat, selain bersentuhan dalam kalangan bukan muhrim itu dianggap tidak berdosa," katanya.

Ahmad Zaki berkata selain menyebarkan ajaran secara berkumpulan, mereka turut menggunakan media sosial untuk mempengaruhi pengikut supaya percaya dengan fahaman yang bertentangan dengan hukum, dan siasatan mendapati ajaran itu hanya tersebar di daerah berkenaan.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan ada tangkapan lain akan dilakukan berhubung perkara itu dalam waktu terdekat.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan