EKONOMI

MoU SC-Khazanah Mudahkan Akses Syarikat Peringkat Pertengahan Kepada Pasaran Modal

17/10/2024 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk menyokong pertumbuhan dan pengembangan syarikat peringkat pertengahan (MTC) Malaysia.

Menurut kenyataan bersama hari ini, ini akan dilaksanakan melalui Dana Impak untuk meningkatkan akses pembiayaan dan membantu (MTC) memahami pasaran modal untuk mempercepatkan pertumbuhan dan pengembangan mereka.

Matlamatnya ialah membina rangkaian kukuh untuk syarikat MTC yang bersedia memasuki pasaran modal.

“MoU itu akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah menyokong fasa pertumbuhan MTC seterusnya serta program dan inisiatif bersama untuk meningkatkan kesedaran dan akses mereka kepada pasaran modal,” katanya.

Ini termasuk inkubasi pengumpulan dana untuk 60 hingga 100 MTC untuk meningkatkan kesediaan pasaran modal, program pembinaan kapasiti yang khusus untuk meningkatkan daya saing dan kapasiti inovatif serta pelaburan untuk memacu pertumbuhan, katanya.

Menurut kenyataan itu, MoU tersebut menyokong pelan hala tuju lima tahun SC “Memangkin Akses  Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta MTC kepada Pasaran Modal (2024-2028).”

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pihaknya menghargai sokongan Khazanah terhadap Pelan Hala Tuju PMKS dan MTC serta matlamat jangka panjang SC untuk memastikan ekosistem pengumpulan dana pasaran modal yang inklusif dan menyeluruh.

“MTC merupakan majikan domestik yang penting dan penyumbang kepada ekonomi. Bagaimanapun, mereka telah dikenal pasti sebagai ‘missing middle’ berikutan mereka sering menghadapi kesukaran dalam mengakses pembiayaan untuk pertumbuhan. 

“MOU ini akan menangani cabaran tersebut untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, katanya Khazanah, melalui Dana Impak, memperuntukkan sebanyak RM500 juta sebagai permulaan untuk menyediakan pembiayaan kepada MTC.

“Pembiayaan ini akan disalurkan kepada MTC yang berpotensi tinggi melalui pasaran persendirian sama ada ekuiti persendirian atau dana kredit persendirian, memastikan akses yang lebih baik kepada modal,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan