KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Peruntukan berkaitan industri kreatif seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025, jelas memperlihatkan sokongan kerajaan terhadap bakat seni.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata menerusi Program Belia Kreatif MADANI dengan peruntukan RM30 juta, ia akan dapat membantu pembangunan industri kreatif.
“Ini kali pertama FINAS dan program pembangunan industri kreatif dapat tumpuan ke arah membantu content creator muda yang mempunyai daya kreatif tinggi, untuk dibimbing menerusi program latihan dan mentorship di seluruh negara.
“Antara fokus lain ialah memupuk jati diri, sayang negara dan yang penting dapat menjana ekonomi golongan belia melalui penghasilan kandungan mereka. Belia adalah generasi akan datang yang akan mewarnai industri kreatif kita. Oleh itu, libat urus dengan golongan belia penting iaitu future investment pada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar pada pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan Program Belia Kreatif MADANI akan dianjurkan bagi menarik hampir 16,000 anak muda menceburi bidang seni dengan peruntukan RM30 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures (MyCV) Zainariah Johari berkata melalui peruntukan RM25 juta pada Belanjawan 2025, pihaknya akan memberikan perhatian kepada syarikat industri kreatif yang mempunyai potensi untuk berkembang serta kekal relevan untuk jangka masa panjang.
“Pembiayaan usahawan sosial kreatif, selari dengan objektif MyCV sebagai sebuah syarikat GLIC dan menggalakkan usahawan sosial kreatif yang mempunyai agenda perniagaan supaya dapat bertahan serta bersaing dalam industri kreatif.
“Sebagai pemacu ekonomi kreatif ekonomi, ia merupakan langkah yang harus digalakkan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden BeKreatif dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan Khairul Rizam Abu Samah menyifatkan Program Belia Kreatif MADANI, sebagai langkah proaktif yang membawa kesan positif kepada pembangunan bakat seni dalam kalangan generasi muda.
“Kami turut percaya bahawa program ini mampu mencipta peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu dalam bidang seni seperti seni visual, muzik, teater, animasi, dan produksi filem, yang kini berkembang pesat dengan adanya sokongan teknologi digital.
“Selain itu, inisiatif ini bakal meningkatkan kesedaran tentang kepentingan seni dalam pembangunan ekonomi negara dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab seni kreatif di rantau ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial