REMBAU, 19 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu menjadi negara tuan rumah yang mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dengan berkesan, sekali gus menonjolkan imej negara yang cemerlang di peringkat antarabangsa, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata sidang kemuncak itu juga menjadi platform bagi membuktikan negara mempunyai tadbir urus yang baik termasuk dari aspek ekonomi, serta hubungan dan perpaduan antara kaum.
“Sekarang ini orang mendengar suara kita (Malaysia) termasuk di persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), G20 dan Negara-Negara Berkecuali, jadi ini penting.
“Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mereka kadang-kadang bertanya apa pandangan kita, mereka mahu pandangan Malaysia menjadi penting bagi sesuatu keputusan dalam satu-satu mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Rembau kepada 104 individu di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia menggariskan tiga tonggak utama sebagai persiapan menjadi Pengerusi ASEAN 2025 iaitu keselamatan dan politik, ekonomi serta sosiobudaya dengan lebih 300 mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan pemimpin negara, menteri dan pegawai akan diadakan.
Sementara itu Mohamad berkata Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah belanjawan menyeluruh serta memandang ke hadapan, dengan mengambil kira kekangan yang ada dalam negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah melalui peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus dan RM86 bilion belanja pembangunan.
Sementara itu Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian dengan Jordan dalam masa terdekat bagi membincangkan cara untuk menghantar bantuan termasuk perubatan ke Gaza.
“Semalam saya terima panggilan telefon daripada rakan sejawat Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Luar Jordan Ayman Safadi, bagaimana untuk kita koordinasi bantuan ke utara Gaza yang terjejas teruk… di sana hospital tak ada bekalan, kita perlu kerjasama bagaimana cara 10 hingga 20 negara akan dapat kumpul dana.
“Jordan penting kerana ada hubungan dengan Israel dan melalui Jordan kita akan dapat bawa bekalan makanan atau perubatan ke utara Gaza,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial