AM

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Berangkat Ke HPBS Selangor 2024

20/10/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Selangor 2024 yang diadakan di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang dekat sini.

Turut berangkat ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, dan ketibaan baginda berdua pada 10.50 pagi disambut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Hadir sama Exco kerajaan negeri, termasuk Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Ng Suee Lim selain Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Alias Rameli dan Pengarah PLANMalaysia negeri Khairulzaman Ibrahim.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Norashikin yang meluangkan masa hampir dua jam turut berkenan melawat beberapa reruai di HPBS Selangor 2024 sebelum berangkat pulang pada 12.30 tengah hari.

HPBS diadakan pada setiap 8 Nov di seluruh dunia bagi meraikan profesion perancang bandar dan sambutan HPBS di peringkat Persekutuan dijadual akan berlangsung di Putrajaya pada 28 Okt ini.

Sementara itu, PLANMalaysia Selangor dalam kenyataan media memaklumkan HPBS Selangor 2024 itu  diadakan bagi menghargai peranan perancang bandar di atas sumbangan mereka khususnya dalam mewujudkan persekitaran kehidupan berkualiti serta pembentukan masyarakat yang sejahtera.

“Antara matlamat sambutan HPBS adalah untuk memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui program, pameran serta aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Secara tidak langsung, profesion perancang bandar dan desa juga dapat dikenali rakyat secara lebih dekat.

“Selain itu, HPBS Selangor 2024 bertemakan “Sedaya Upaya Membina Bandar Mampan dan Pintar”  yang menyasarkan kehadiran 3,000 pengunjung ini juga dapat mempromosikan produk serta destinasi pelancongan tempatan kepada masyarakat umum, sekali gus menjana ekonomi setempat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan