POLITIK

MCA Mahu Kerajaan Pelihara, Pertahan Hak Kebebasan Bersuara Rakyat

20/10/2024 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini menggesa kerajaan supaya terus memelihara dan mempertahan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

Wee, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 di sini, berkata ini kerana walaupun terdapat perbezaan pendapat, kesuburan demokrasi tidak boleh dimusnahkan sama sekali.

Beliau turut meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang hadir pada perhimpunan itu, memanjangkan gesaan tersebut kepada pihak berkaitan bagi memastikan demokrasi di Malaysia kekal subur.

“Hak bersuara dan kebebasan rakyat kita wajib dipelihara dan dipertahankan. Janganlah disebabkan perbezaan pandangan, hendak dimusnahkan kesuburan demokrasi,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.

Wee juga berkata MCA akan menyokong apa jua rang undang-undang yang baik dan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Beliau berkata Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, yang akan dibentang untuk bacaan kali kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen kali ini, perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk MCA sebagai parti komponen kerajaan walaupun ia tiada wakil dalam Kabinet.

“Terserah kepada Jemaah Menteri dan kerajaan hari ini, berlandaskan kepada nilai-nilai yang kita dukung selama ini, untuk memastikan apa jua rang undang-undang yang akan menjadi akta pada masa akan datang tidak memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.

Wee juga berharap Ahmad Zahid dapat meyakinkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan status pengecualian cukai kekal kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta Yayasan Pendidikan UTAR (UTAREF) mengikut Seksyen 44(6) dan Seksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau berkata meskipun Anwar, yang juga Menteri Kewangan, telah memberikan pengecualian cukai kepada UTAR dan membatalkan cukai serta denda RM83 juta yang dituntut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri namun isu pokoknya masih perlu diselesaikan.

“… kita di pihak MCA dan UTAR akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk mencari penyelesaian mutlak,” katanya.

Pada Ahad lepas, Anwar berkata kelewatan kelulusan pengecualian cukai kepada UTAR adalah berikutan universiti itu masih berada di bawah Yayasan Tunku Abdul Rahman yang belum dipisahkan strukturnya antara urusan syarikat perniagaan komersial dan pendidikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan