AM

Program PROTEGE-Veteran Bantu Pesara Peroleh Pekerjaan Lebih Terjamin

21/10/2024 07:47 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Program baharu PROTEGE – Veteran, yang bakal diperkenalkan, mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya yang memiliki kelayakan dalam Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memastikan mereka memperoleh pekerjaan yang lebih terjamin.

Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (Akademik dan Antarabangsa) Dr Mohd Hasril Amiruddin berkata kebanyakan veteran berpangkat rendah sebelum ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang sesuai sejurus tamat perkhidmatan.

“Program ini mampu membantu veteran dalam pelbagai bidang selepas bersara. Syarikat kontraktor wajar mengambil peluang ini untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Ini adalah langkah agresif yang diambil oleh kerajaan untuk menjaga kebajikan pesara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas mengenai pengumuman program baharu itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat, Jumaat lalu, yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM5.8 bilion untuk memastikan kesiagaan penuh ATM dalam aspek penyelenggaraan, pembaikan, serta perolehan aset ketenteraan baharu.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata pegawai ATM berpangkat tinggi mungkin lebih mudah untuk menceburi bidang korporat, perniagaan, atau perundingan selepas bersara.

Namun, bagi veteran berpangkat rendah, peluang pekerjaan agak terhad, menyebabkan ramai terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan yang tidak sepadan dengan pengalaman serta kemahiran mereka.

“Ramai veteran ATM mempunyai disiplin tinggi dan kemahiran teknikal, tetapi mereka tidak diberikan platform yang sesuai untuk memanfaatkan kemahiran tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, Pensyarah Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Dr. Amir Akramin Shafie berkata program itu bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan berkemahiran, malah membuka ruang kepada pesara ATM dan veteran lain untuk menjadi pencipta peluang pekerjaan, bukan sekadar pencari kerja.

“Transformasi modal insan ini amat penting. Selain membantu mereka menjadi lebih berdikari, ia juga mampu memperkasa landskap keusahawanan yang lebih dinamik di Malaysia,” katanya.

Mengenai kadar gaji yang sesuai untuk veteran ATM berkemahiran, Prof. Amir mencadangkan gaji antara RM2,500 hingga RM4,000, berdasarkan gaji semasa bagi pekerja berkelayakan TVET serta pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh pesara ATM.

“Berdasarkan kadar gaji premium untuk TVET, saya berpendapat gaji minimum bagi golongan ini seharusnya sekurang-kurangnya RM2,500,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan