AM

R&R Di LTU Dijangka Siap Ogos Tahun Depan - Ahmad Maslan

22/10/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di jajaran Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 4A: Kampung Relong ke Ladang Jerkoh, Kuala Lipis dijangka siap pada Ogos tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerja-kerja pembinaan hentian R&R itu dijangka bermula pada Mac 2025 atau lebih awal.

“Sekarang ini baru dibina platform dan jalan untuk menuju ke platform itu belum dibina, dijangka pembinaannya tidak lama lagi,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab usul dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai jumlah hentian R&R yang akan dibina di Pahang dan Kelantan.

Bagi Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK), Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata pembinaan hentian R&R di jajaran lebuh raya itu di Seksyen Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab dijangka siap pada Januari 2026.

“Bagi Kelantan, ini merupakan tambahan kepada R&R yang sedia ada di Gua Musang Utara dan Gua Musang Selatan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua hentian R&R itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti kawasan rehat, tandas, surau, gerai jualan, kawasan permainan kanak-kanak, rumah sampah dan tempat parkir yang mampu meningkatkan tahap keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya. 

Ahmad berkata kajian awal mendapati pembinaan dua hentian R&R baharu di sepanjang jajaran itu mencukupi untuk menampung keperluan pengguna jalan raya dengan mengambil kira jumlah trafik, pola perjalanan pengguna terutama ketika musim perayaan dan jarak antara kemudahan sedia ada.

“Selain R&R yang dinyatakan, LTU dan KBKK juga mempunyai susur keluar dan masuk melibatkan bandar utama di Pahang dan Kelantan.

“Pengguna mempunyai pilihan untuk rehat dan rawat di sepanjang laluan FT08 sedia ada khususnya ketika waktu puncak dan musim perayaan utama, secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata status kemajuan keseluruhan projek LTU telah mencapai 66 peratus, manakala pembinaan KBKK 49 peratus.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan