AM

MOTAC Kenal Pasti Tiga Keutamaan Perkasa Seni, Budaya Di ASEAN

23/10/2024 05:58 PM

MELAKA, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjadikan elemen remaja, ekonomi kreatif dan digitalisasi sebagai tiga keutamaan dalam memperkasakan usaha memulihara seni dan budaya di rantau ASEAN, khususnya di Malaysia.

Ketua Setiausahanya Datuk Roslan Abdul Rahman berkata pemilihan elemen itu hasil Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Bertanggungjawab kepada Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) ke-20 yang diadakan selama tiga hari bermula 22 Okt lepas.

"Apa yang menarik pada SOMCA kali ini, delegasi dari United Kingdom turut sama berkongsi pengalaman dan mengajak anggota ASEAN mengadakan kolaborasi bagi membangunkan ekonomi kreatif ASEAN dan kita telah mengadakan perbincangan memandangkan Malaysia menjadikan ekonomi kreatif ini sebagai tumpuan dan inisiatif untuk mengetengahkan lagi elemen ini.

"Kita juga turut mengadakan kolaborasi dengan Itali dalam aspek pemuliharaan warisan dan bahan budaya dan insya-Allah pada tahun hadapan Malaysia akan mempergiat lagi tumpuan kepada tiga elemen itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Roslan berkata beberapa permuafakatan dan jalinan kesefahaman berjaya dicapai antaranya mewujudkan ASEAN Creative Sustainability Framework, Melaka Declaration on Culture and Heritage Value Creation, Simposium Ekonomi Kreatif ASEAN dan Deklarasi Vang Vieng dalam mempromosikan perusahaan kecil dan sederhana berkaitan budaya.

"Bagi perancangan masa depan, rangka kerja seni dan budaya bagi tempoh 2022 hingga 2025 ini akan dijadikan tunggak kepada rangka kerja ASEAN pada masa depan.

"Semua rangka kerja ini adalah untuk mengurangkan jarak dan mewujudkan senarai warisan global yang lebih bersifat inklusif dan mewakili warisan budaya ASEAN," katanya.

Bagi sesi dialog dengan rakan ASEAN seperti China, Korea Selatan dan Jepun pula, Roslan berkata beberapa perkara turut dicapai menerusi program yang dilaksanakan.

"Antaranya mendigitalkan artifak bersejarah iaitu bahan sejarah tersebut disimpan dalam format digital. Ini secara tidak langsung memudahkan pengkaji sejarah dan sosiobudaya untuk mempunyai akses kepada bahan sejarah berkenaan dalam bentuk digital," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan