AM

GISBH: Suhakam Cadang RCI Ditubuh Untuk Siasat Dakwaan Eksploitasi Kanak-kanak

23/10/2024 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara terperinci dakwaan eksploitasi terhadap kanak-kanak oleh GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Dr Farah Nini Dusuki berkata dengan adanya RCI, siasatan secara telus dan terperinci dapat dijalankan termasuk mengenal pasti punca bagaimana eksploitasi ke atas kanak-kanak terbabit boleh berlaku.

"Kita terus ke isu berkaitan, macam mana dah bertahun-tahun berlaku tetapi tiada yang bertanya kanak-kanak ini pergi sekolahkah? Sakitkah? Berapa orang penjaga dalam setiap pusat?

"Sebagai individu yang berada dalam bidang ini selama 32 tahun, saya tertanya-tanya apa yang telah berlaku dalam komuniti kita. Tiada sesiapakah yang mempersoal sama ada budak-budak ini pergi sekolah kerana di bawah Seksyen 39A Akta Pendidikan 1996, adalah mandatori untuk mereka menerima pendidikan," katanya semasa menjadi tetamu program audio siar Cikgu Undang-Undang.

Audio siar terbaru Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang itu membincangkan isu-isu semasa berkaitan undang-undang serta reformasi institusi dan dihoskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said. 

Turut menjadi tetamu dalam episod sulung yang bersiaran semalam ialah pengasas bersama Yayasan Chow Kit Datuk Dr Hartini Zainudin.

Hartini, yang senada dengan Farah Nini,  berkata RCI boleh menyelidik dengan lebih mendalam punca isu itu dan cabaran sebenar bukan terletak pada sesuatu undang-undang tetapi pelaksanaannya yang cacat.

"Saya percayakan RCI. Kita perlu menyelidikinya dari peringkat akar umbi kerana isu membabitkan kanak-kanak adalah tanggungjawab pelbagai agensi," katanya. 

Azalina pula mencadangkan supaya Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) bergerak secara agresif untuk merangka prosedur operasi standard mengenai penjagaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH.

"Kadang-kadang saya rasa sebab anak-anak ini semuanya tidak mampu bersuara.

"Saya juga akan mengambil peluang selepas ini bagi mendapatkan kerjasama badan bukan kerajaan dan OCC untuk mengadakan sesi dengan Ahli Parlimen," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan