AM

CUEPACS Mohon KKM Teliti Isu Pembekalan Kain Untuk Pakaian Seragam Petugas Kesihatan

23/10/2024 11:54 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon Kementerian Kesihatan (KKM) agar segera meneliti isu pembekalan kain untuk pakaian seragam petugas kesihatan yang dikatakan berkualiti rendah.

Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat berkata pihaknya sudah lama membangkitkan perkara itu dan beranggapan ia seharusnya tidak lagi timbul dan telah diselesaikan oleh KKM.

“Kami kecewa kerana perkara ini masih berlaku di saat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) amat mementingkan kebajikan penjawat awam.

“Kami mendapat aduan kalau kain uniform itu putih, yang diterima tidaklah betul-betul putih. Kalau putih pula, kadang-kadang kainnya jarang dan telus. Lebih memeritkan kain keras dan tebal… tidak sesuai buat uniform untuk jalankan tugas. Ia perlu diteliti semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program peningkatan profesionalisme pembantu tadbir pendidikan negeri Terengganu 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Adnan turut meminta kerajaan menyegerakan tuntutan untuk menaikkan skim perkhidmatan kira-kira 300,000 pembantu tadbir yang didakwa tercicir daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Beliau berkata Ceupacs telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri mengenai perkara itu dan berharap mendapat maklum balas terbaik daripada kerajaan sebagaimana yang dibincangkan bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini.

"Dalam memorandum itu, kami mohon kerajaan meningkatkan skim pembantu tadbir kepada Gred 29 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) atau Gred 5 di bawah SSPA.

"Pembantu tadbir sebenarnya sudah lama tertinggal. Skim yang setara dengannya telah jauh berubah. Jadi kami rasa mereka perlu dilihat semula dalam bentuk fungsi tugas yang telah ditingkatkan," katanya.

Adnan berkata gred skim pembantu tadbir juga wajar dinaikkan kerana ada antara mereka yang memiliki kelulusan lebih tinggi seperti diploma dan ijazah berbanding kelayakan kemasukan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan