AM

Bomba Selamatkan Tiga Sekeluarga Terperangkap Dalam Kebakaran

25/10/2024 11:06 AM

SHAH ALAM, 25 Okt (Bernama) -- Tiga sekeluarga berusia lapan dan sekitar 30-an berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran di tingkat dua sebuah pangsapuri di Taman Sentosa, Klang dekat sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada 2.58 pagi sebelum menggerakkan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas ke lokasi kebakaran.

Ahmad Mukhlis berkata operasi pemadaman dan menyelamat turut melibatkan dua jentera masing-masing sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta dua kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). 

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang terperangkap di dalam bilik berjaya diselamatkan.

“Mangsa mengalami sedikit sesak nafas akibat asap tebal dan diberikan bantuan awal oleh pasukan EMRS sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata anggaran kemusnahan ialah 20 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan