KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tampil menyumbang barangan keperluan bernilai lebih RM75,000 dalam usaha menyokong Misi Civil-Military Coordination (CIMIC) oleh Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 di Lubnan ketika ini.
Ketua Eksekutif LTAT Ashraf Radzi berkata sumbangan berbentuk barangan keperluan asas seperti beg sekolah, set alat tulis, tuala, lampin bayi, dan vitamin itu bagi membantu rakyat Lubnan yang terkesan akibat konflik yang sedang berlaku di rantau tersebut.
“Inisiatif ini mencerminkan dedikasi kami terhadap kebajikan anggota ATM serta tanggungjawab kami untuk membantu komuniti yang memerlukan terutamanya dalam situasi konflik.
“LTAT juga berbangga dapat menyumbang kepada kepada usaha kontinjen MALBATT di Lubnan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan itu telah diadakan di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.
Antara kumpulan syarikat LTAT yang menyumbang termasuk Boustead Holdings Berhad (Boustead), Boustead Plantation Berhad (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), Boustead Properties Berhad (BProp) dan Pharmaniaga Berhad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial