AM

Acara Antarabangsa Seperti BIGSABAH Sale Penting Untuk Pupuk Pertumbuhan Ekonomi - Christina Liew

25/10/2024 09:06 PM

KOTA KINABALU, 25 Okt (Bernama) -- Acara antarabangsa seperti International BIGSABAH Sale adalah penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan industri tempatan negeri, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Beliau berkata acara itu bukan sahaja menyediakan platform bagi perniaga tempatan Sabah melebarkan jangkauan mereka, tetapi juga mewujudkan peluang untuk kerjasama, perdagangan dan rangkaian pada skala antarabangsa.

"Reruai antarabangsa ini, bersama dengan penyertaan vendor dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, menjadikan acara ini benar-benar acara Antarabangsa. Kehadiran mereka bukan sahaja meningkatkan kepelbagaian produk yang dipamerkan tetapi juga memupuk perkongsian rentas sempadan.

“Impak daripada acara sebegini adalah meluas, menawarkan manfaat sosial dan ekonomi yang ketara untuk Sabah. Dengan menarik pempamer dan pelawat antarabangsa, kita tingkatkan pelancongan perniagaan, yang merupakan sektor penting dalam usaha berterusan kita mengukuhkan profil Sabah sebagai destinasi global untuk pelancongan dan perniagaan. 

“Nilai acara ini juga melangkaui kesan ekonomi serta-merta. Kepentingan sosial International BIGSABAH Sale juga sama mendalam," katanya ketika melancarkan International BIGSABAH Sale Ke-2 di sini hari ini.

Acara itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini bermula hari ini hingga Ahad ini.

Terdapat 315 reruai dalam acara itu, termasuk 30 dari Brunei, 10 dari Thailand, empat dari Indonesia, dua dari Filipina dan 10 dari GM Klang - bandar borong Malaysia terkenal dengan rangkaian produk yang pelbagai bagi pasaran antarabangsa.

Sementara itu Liew berkata Sabah menawarkan potensi besar untuk perkongsian sama ada dalam acara perniagaan, pelancongan atau usaha niaga lain.

Beliau berkata Sabah kaya dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan peluang perniagaan yang unik, justeru kerajaan negeri terbuka untuk bekerjasama bagi mewujudkan kolaborasi yang bermakna dan saling menguntungkan. 

"Kehadiran anda di sini hari ini menandakan keyakinan terhadap Sabah sebagai pemain utama dalam pasaran serantau, dan saya menggesa anda untuk meneroka kemungkinan untuk perkongsian perniagaan, bukan sahaja dalam ekspo pengguna ini tetapi merentasi pelbagai sektor, termasuk pelancongan, perdagangan dan acara perniagaan.

"Bersama-sama, kita boleh membina hubungan berkekalan yang akan meningkatkan keterlihatan dan kemakmuran ekonomi semua negara kita," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan