KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Forum Ekonomi Belia (YEF) 2024, yang mengumpulkan lebih 1,200 delegasi hari ini, menyediakan platform kepada profesional muda, universiti dan pelajar kolej untuk terlibat dalam perbincangan tentang landskap ekonomi Malaysia yang sedang berkembang, memfokuskan kepada ekonomi digital dan hijau, serta pembangunan bakat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika ucaptama penutup forum itu berkata belia hari ini akan membentuk negara masa hadapan sama ada melalui inovasi dalam kecerdasan buatan (AI), keusahawanan dalam teknologi hijau atau peneraju dalam pembuatan termaju.
Beliau menekankan bahawa golongan belia perlu mengambil tanggungjawab dan merencana masa depan Malaysia sementara kerajaan melaksanakan dasar yang menarik perniagaan dan pelaburan, mewujudkan pekerjaan yang kompleks dan bernilai tinggi, seperti Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.
“Saya ingin mengingatkan anda bahawa ekonomi baharu yang kami bina bukan hanya untuk anda -- ia bersama anda.
“Kami sedang meletakkan asas bagi ekonomi yang berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif, didorong oleh teknologi, kemampanan dan inovasi,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo, dalam sesi semasa YEF 2024 hari ini berkata pembangunan bakat dalam teknologi, terutamanya dalam AI, adalah penting dan kerajaan kini memberi tumpuan kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk menyediakan belia dapat memenuhi permintaan pasaran baharu.
"Dalam sektor digital, kami mempunyai inisiatif yang sama -- TVET digital atau DVET. Matlamat kami adalah untuk syarikat melatih pekerja semasa mereka bekerja, membolehkan mereka memperoleh ijazah dan maju dalam kerjaya mereka," katanya.
Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, dalam ucapan perasmiannya berkata belia mesti bersedia untuk menangani cabaran masa depan dan merebut peluang dalam ekonomi sedang pesat membangun, terutamanya apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan.
Beliau berkata ASEAN menyediakan peluang besar untuk pertumbuhan dan kerjasama, dan oleh itu, belia harus menyumbang secara aktif kepada kemajuan negara dengan melibatkan diri dalam landskap ekonomi sebagai pemimpin dan usahawan.
Bagi pengarah YEF 2024, Ewanina Effandie, beliau berkata tema YEF tahun ini, “A Second Economy Takeoff: Malaysia's Path to the New Economy”, adalah seruan kepada belia untuk bertindak membentuk masa depan negara secara aktif.
Beliau berkata bagi memastikan pelan hala tuju dan pelaburan dapat diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi yang bermakna bagi Malaysia, adalah penting untuk belia memacu transformasi dengan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan bakat yang sesuai.
Selain itu, Presiden Persatuan Alumni Felow Perdana (PFAA) Syed Mohamed Arif Syed Abdul Rahim perubahan belia penting untuk mereka merebut peluang dalam landskap ekonomi yang semakin berkembang.
Dianjurkan oleh PFAA dan disokong oleh YTL Power, YEF menggalakkan belia untuk menyertai perbincangan berasaskan fakta untuk mentakrifkan semula landskap ekonomi Malaysia dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2028.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial