AM

LRT3: Lima Stesen Tambahan Dijangka Beroperasi Suku Kedua 2028

28/10/2024 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang cadangan pembinaannya dibatalkan sebelum ini, dijangka siap dan beroperasi pada suku kedua 2028.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata ketika ini Prasarana Malaysia Berhad sedang memuktamadkan butiran teknikal dan kewangan perjanjian kontrak tambahan.

Beliau berkata skop reka bentuk stesen berkenaan - Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik - dijangka bermula pada suku pertama tahun depan manakala kerja-kerja fizikal dijangka bermula pada suku keempat 2025 bagi tempoh dua tahun. 

"Pembinaan lima stesen ini dijangka siap pada suku keempat 2027 dan dijangka beroperasi bermula pada suku kedua 2028," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) yang ingin tahu status terkini penerusan projek lima stesen LRT3 berkenaan termasuk unjuran tarikh pengoperasian serta implikasi kos tambahan yang terlibat berbanding unjuran asal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 berkenaan yang dibatalkan sebelum ini.

Hasbi berkata kos asal projek LRT3 yang diluluskan pada 2015 adalah sebanyak RM31.65 bilion, namun kos tersebut dikurangkan kepada RM16.63 bilion pada 2018 susulan langkah penjimatan kerajaan melalui pengurangan skop projek.

Beliau berkata penambahan RM5.3 bilion bagi pembinaan lima stesen berkenaan menjadikan kos keseluruhan projek LRT3 adalah sebanyak RM21.93 bilion.

"Jika dibandingkan dengan kos asal projek LRT3, kos terkini masih rendah dengan penjimatan sebanyak RM9.72 bilion. Sumber pembiayaan bagi skop reinstatement sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Azahari, Hasbi berkata projek LRT3 telah mengambil kira unjuran terkini sasaran pengguna harian bagi LRT3 untuk menampung keperluan terutamanya pada waktu puncak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan