KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Ketua Audit Negara diberi kuasa menjalankan pengauditan terhadap akaun 1,856 badan lain termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), berkuat kuasa semalam.
Jabatan Audit Negara menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini memaklumkan, perkara itu berdasarkan Perintah Audit (Akaun Badan Lain) (Pindaan) 2024 [P.U.(A) 331/2024] yang diwartakan pada 31 Okt, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut kenyataan itu jumlah yang diwartakan itu, meningkat lebih sekali ganda daripada jumlah 925 badan lain termasuk syarikat yang diwartakan pada tahun 2022.
“Sejajar dengan Perintah Audit yang telah dikuatkuasakan ini, Garis Panduan berhubung dengan pelaksanaan pengauditan syarikat GLC ini sedang dibangunkan oleh Jabatan Audit Negara dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7A Akta Audit 1957 [Akta 62], yang memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan sebagaimana perlu atau suai manfaat bagi maksud menjalankan peruntukan di bawah Akta 62,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt, mengumumkan Jabatan Audit Negara diberikan peranan lebih besar untuk memulakan pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat dan entiti yang menerima peruntukan dan jaminan Kerajaan.
Seterusnya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, 22 Okt, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju supaya Ketua Audit Negara melakukan pengauditan terhadap GLC untuk memastikan syarikat kerajaan diurus mengikut mandat sebenar khususnya demi kesejahteraan ekonomi rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial