AM

Banci Pertanian 2024 Penggerak Utama Pembangunan Ekonomi Berasaskan Pertanian

02/11/2024 05:56 PM

BUTTERWORTH, 2 Nov (Bernama) -- Banci Pertanian 2024 yang melabuhkan tirai pada 10 Okt diharap menjadi penggerak utama dalam memastikan segala perancangan dan pelaksanaan untuk membangunkan ekonomi berasaskan pertanian dapat disegerakan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pelaporan yang diperoleh menerusi bancian itu yang diusahakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini berada di peringkat analisis dan akan dibentang kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Kali terakhir negara melakukan Banci Pertanian adalah dalam tahun 2005, selama 20 tahun kita merancang mengenai keterjaminan makanan, mengenai sektor makanan, mengenai guna tenaga pertanian di negara ini, berdasarkan satu penanda aras yang tidak pernah disemak selama 20 tahun.

“Sebab itu, walaupun kita masih lagi melalui proses analisa dan keputusan akhirnya akan dibentang kepada kerajaan dalam masa terdekat, daripada data awal itu menunjukkan bahawa kapasiti pertanian yang kita ada selama ini mengikut pelaporan rasminya sebenarnya lebih rendah daripada yang dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun DOSM yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata DOSM melaksanakan analisis dan pengurusan data sehingga ke peringkat terkecil seperti di peringkat daerah untuk memastikan penyampaian kerajaan lebih cepat serta berkesan untuk manfaat rakyat keseluruhannya.

DOSM juga telah mengorak langkah mengeluarkan beberapa statistik utama di peringkat Dewan Undangan Negeri.

“Jadi sebenarnya tidak ada alasan sama ada wakil rakyat, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Pejabat Daerah yang tidak tahu keadaan di tempat masing-masing kerana pelaporan sekarang sudah sampai di peringkat daerah yang telah memperincikan berapa miskin tegar, berapa miskin, rumah apa, kerja di mana,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Sementara itu, bersempena ulang tahun ke-75, DOSM hari ini mengeluarkan statistik baharu bagi indikator kos sara hidup yang merangkumi Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Perangkaan Malaysia, indikator itu bukan sahaja boleh dijadikan panduan dalam perancangan dasar yang bersesuaian malah boleh dijadikan rujukan kepada rakyat dalam merancang dan menguruskan kewangan serta perbelanjaan.

Selain itu, DOSM buat julung kali menerbitkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut daerah pentadbiran bagi tahun 2015-2020.

Menurut kenyataan itu, laporan berkenaan boleh dijadikan rujukan dalam merangka dan menilai pelan pembangunan di peringkat negeri serta daerah dengan lebih berstruktur.

“Inisiatif ini juga boleh membantu merapatkan jurang pembangunan sosioekonomi antara wilayah dan negeri bagi merangsang aktiviti ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Dalam persekitaran yang semakin kompleks, pembangunan perlu mengambil kira keperluan pelbagai peringkat, termasuk kerajaan negeri dan daerah.

“Penerbitan data terperinci sehingga ke peringkat daerah adalah penting untuk perancangan yang lebih seimbang dan tepat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan