AM

KRPPM-IGAR Cadang Akta Kebebasan Maklumat Dijadikan Agenda Utama

04/11/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia berkenaan Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM-IGAR) mencadangkan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dijadikan agenda utama dalam penggubalan undang-undang berkaitan integriti, tadbir urus dan antirasuah. 

Pengerusi KRPPM-IGAR Syed Ibrahim Syed Noh berkata akta itu penting untuk membina budaya akauntabiliti, memperkasa rakyat dan memastikan penglibatan berinformasi dalam proses demokrasi negara.

“KRPPM juga tidak melihat garis masa yang jelas berkenaan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Ombudsman yang sebelum ini dijangka dibentangkan pada tahun ini.

“Kesegeraan penambahbaikan akan memberikan impak signifikan kepada pencegahan ketirisan dan rasuah di Malaysia,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam mesyuarat kumpulan berkenaan pada 28 Okt lepas bagi membincangkan status, garis masa serta keseriusan kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi dan perundangan.

Mengenai Strategi Anti-Rasuah Negara (NACS), Syed Ibrahim berkata KRPPM-IGAR bersama Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang komited untuk menjamin ketelusan serta semak dan imbang dalam pelaksanaan dan pematuhan strategi yang melibatkan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata KRPPM-IGAR turut mencadangkan perubahan struktur tambahan yang penting untuk mencapai objektif tadbir urus yang lebih luas termasuk reformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), peningkatan pengawasan projek mega dan pengasingan pengurusan dana kekayaan berdaulat dan dana persaraan. 

“KRPPM bersama ahli-ahli Parlimen, rakan-rakan pakar dan masyarakat sivil akan berdiri teguh dalam usaha mencapai sistem tadbir urus yang memegang kepada prinsip integriti dan kebertanggungjawaban.

“Kami ingin menyeru semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama merealisasikan reformasi ini, dalam semangat komitmen bersama ke arah kemajuan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan